Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kim Swee gugur 4 pemain B-22
Diterbitkan:  Jan 12, 2019 8:45 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Empat pemain digugurkan daripada skuad bawah 22 tahun kebangsaan ekoran mengalami kecederaan menjelang Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2019 di Bangkok, bulan depan.

Ketua jurulatih, Ong Kim Swee, berkata tiga pemain itu ialah Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, Ariusdus Jais dan Muhammad Faisal Abdul Halim.

Kata Kim Swee seorang lagi pemain yang digugurkan ialah Ariff Ar Rasyid Ariffin yang belum sembuh daripada demam.

"Saya mungkin akan memanggil pemain dari Kedah atau Kelantan untuk memantapkan pasukan menjelang aksi sebenar kejuaraan AFF," katanya pada sidang media selepas aksi persahabatan dengan pasukan Mifa di padang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), di Nilai, hari ini.

Terdahulu, pada perlawanan itu, Misa kendalian ketua Jurulatih K Devan menang 1-0 dengan gol tunggal dijaringkan pemain import, Pedro Monteiro, pada minit ke-21 melalui sepakan penalti.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Kim Swee berkata, dia berpuas hati dengan aksi dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit permainan.

"Perlawanan ini penting bagi menilai prestasi pemain dan kami masih memiliki tiga perlawanan persahabatan di Bangkok.

"Saya akan menilai pemain dalam aksi seterusnya dan mencuba beberapa kombinasi. Pada perlawanan ini kombinasi di bahagian tengah sangat baik," katanya.

Kim Swee berkata kekalahan pasukannya hari ini disebabkan mereka belum mencapai keserasian yang mantap memandangkan anak buahnya baru menjalani latihan selama empat hari.

"Ini adalah perlawanan pertama kami dan saya berpuas hati," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS