Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Bekas kapten Pulau Pinang meninggal dunia
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Bekas kapten bola sepak Pulau Pinang era 90-an Aziz Azizan, 54, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 4.30 petang hari ini selepas tiga hari koma akibat darah tinggi.

Anak saudara Aziz, Zamri Ahmad, 40-an, berkata bapa saudaranya koma selepas mengadu sakit kepala setelah bermain bola sepak pada kejohanan Bola Sepak Piala Veteran di Balik Pulau, dekat sini Ahad lepas.

"Arwah pada mulanya dihantar ke Hospital Balik Pulau sebelum dipindahkan ke HPP selepas keadaannya semakin kritikal dan sepanjang dirawat di hospital dia dalam keadaan koma serta bergantung pada mesin sokongan hayat," katanya ketika dihubungi Bernama, di George Town.

Beliau berkata Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Pulau Mutiara dan dibesarkan di Bagan Ajam, Butterworth itu meninggalkan seorang isteri dan 11 orang anak.

Menurutnya, bapa saudaranya yang menjalankan perniagaan tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum ini malah masih aktif bermain bola sepak di peringkat veteran.

Zamri yang juga bekas pemain bola sepak Pulau Pinang berkata mereka sekeluarga masih terkejut dengan kepergian Aziz kerana Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan malah begitu gembira untuk bermain bola sepak pada Ahad lepas.

"Memang keluarga sedih namun kami redha dengan ketentuan Allah dan semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang beriman," katanya.

Beliau berkata jenazah Allahyarham dibawa balik ke kampung halamannya di Bagan Lebai Tahir di Bagan Ajam, Butterworth dan akan dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi esok.

"Rakan-rakan dan orang ramai yang mahu menziarah jenazah boleh hadir di rumah keluarga arwah di Bagan Lebai Tahir," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS