Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Untuk apa bermandi peluh dengan atlet Israel?
Diterbitkan:  Jan 19, 2019 5:22 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Tidak ada keperluan untuk atlet negara bermandi peluh memelihara semangat kesukanan dengan Israel ketika pada masa sama rakyat Palestin pula bermandi darah akibat kekejaman rejim Zionis, kata Raja Bahrin Shah Raja Ahmad.

Mengulas mengenai ketegasan kerajaan menolak kemasukan atlet Israel memasuki negara ini, Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah itu berkata memang benar sukan sepatutnya memupuk persaudaraan sejagat.

Namun katanya pada masa sama Tel Aviv sendiri tidak mengamalkan semangat tersebut dengan pelaksanaan dasar kejam dan menindas di Israel.

"Dari arah mana akan timbulnya semangat muhibah dan kesukanan dalam konteks hubungan Israel dengan negara lain, terutama negara Islam?" katanya.

Beliau yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan sebelum itu mempertikaikan rasional Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung pendirian Putrajaya.

Dalam kenyataannya hari ini Setiausaha Agung MOM Nazifuddin Najib meminta kerajaan menimbang semula larangan berkenaan menjelang Kejohanan Renang Para Dunia di Kuching, Sarawak pada Julai ini kerana ia mungkin menjejaskan imej negara.

Nazifuddin menyarankan kerajaan membenarkan atlet Israel bertanding namun tidak membenarkan penyiaran lagu kebangsaan mereka dimainkan atau bendera dinaikkan sepanjang kejohanan berlangsung sebagai tanda protes.

Layak tapi tak pergi Olimpik

Kata Raja Bahrin langkah memboikot sesebuah rejim bukanlah asing berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini.

Memberikan contoh kerajaan Afrika Selatan dulu, Raja Bahrin berkata, negara itu pernah dipulaukan kerana mengamalkan dasar aparteid.

Katanya dalam konteks Israel, rejim terbabit bukan sekadar mengamalkan diskriminasi malah banyak kekejaman lain dilakukan mereka.

Malaysia sendiri, kata Raja Bahrin, pernah mengambil tindakan memboikot Sukan Olimpik 1980 yang diadakan di Moscow, Soviet Union sebagai tanda membantah pencerobohan rejim komunis itu di Afghanistan.

"Ketika itu tidak timbul pun konsep sukan dan politik tidak patut dicampur-adukkan walaupun penaklukan Afghanistan berlangsung kira-kira satu dekad, sedangkan pencerobohan Israel di wilayah Palestin sudah berlaku berpuluh-puluh tahun," katanya.

Ketika itu kata Raja Bahrin skuad bola sepak kebangsaan Malaysia layak ke sukan olimpik namun tiada yang merungut apabila Kuala Lumpur tidak menghantar mereka ke Moscow.

"Itulah sikap terpuji dan disiplin ahli sukan dan pengurusan skuad Olimpik 1980 kita.

"Sebab itulah juga Malaysia dihormati dan disegani dunia pada zaman itu," katanya.

Lihat Komen
ADS