KBS jalin kerjasama dengan universiti tempatan, perkasa pendidikan atlet
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menjalin lebih banyak kerjasama dengan universiti tempatan dalam usaha memperkasa pendidikan atlet kebangsaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata kerjasama itu membolehkan atlet dan pihak universiti menyediakan program pencapaian kerjaya berkualiti terutama kepada atlet yang sedang menjalani latihan dan mewakili negara.
"Kita akan memastikan sekurang-kurangnya sebuah universiti boleh menerima jaguh sukan yang sedang menjalani latihan selain memberi mereka kelonggaran dari segi masa dan jadual pembelajaran.
"Justeru, kita sedang membuat perancangan, lebih banyak memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dengan universiti (bersesuaian)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bersempena 'Youth Now Summit' di Universiti Multimedia Bukit Beruang di Melaka, hari ini.
Dalam pada itu, Steven Sim yang juga Anggota Parlimen Bukit Mertajam berkata KBS juga berhasrat memperkukuh program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE) dengan menitikberatkan tiga aspek utama melibatkan pendidikan, kerjaya dan kebajikan (perlindungan) atlet.
Beliau berkata satu projek perintis akan dilaksanakan membabitkan atlet negara yang sedang berkhidmat, dan akan ditempatkan mengikut kesesuaian di sektor swasta dengan syor daripada jurulatih atau pun pegawai sukan, dijangka bermula pada suku pertama tahun ini.
"Inisiatif ini diambil agar mereka (atlet) mempunyai kerjaya dua landasan yang mana apabila bersara nanti, mereka mempunyai portfolio selain sukan namun bergantung kepada jadual latihan mereka," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan kini sedang memaksimumkan sumber kewangan KBS dengan memperuntukkan bantuan kepada aktiviti dan penganjuran melibatkan golongan belia.
"Kita perlu ada model untuk menggunakan dana secara lebih cekap dan mapan. Oleh itu, sudah tiba masanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia berdiri atas kaki sendiri," katanya.
Beliau berkata selain program pendidikan dan kerjaya, KBS turut menekankan aspek kebajikan dengan memperluaskan perlindungan kesihatan atlet dan bekas atlet kebangsaan dengan menubuhkan pusat sehenti.
"Projek menawarkan pelbagai khidmat rundingan dan saluran bagi membuat aduan dan cadangan selain mendapatkan khidmat rundingan berhubung aspek pendidikan dan kerjaya itu sedang dalam proses akhir sebelum dilancarkan," katanya.
-- Bernama

