Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Terengganu tekad julang Piala Malaysia musim ini

Terengganu bertekad untuk menjulang trofi Piala Malaysia musim ini setelah nasib tidak menyebelahi mereka yang hanya bergelar naib juara tahun lalu.

Skuad penyu di bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim turut menyasarkan mara ke peringkat akhir Piala FA dan menempatkan pasukan dalam kelompok tiga terbaik bagi cabaran Liga Super dan Liga Perdana.

Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM25 juta bagi membiayai lima pasukan bola sepak negeri yang akan menghadapi saingan pelbagai liga dan piala pada musim ini.

"Peruntukan ini bagi menguruskan lima pasukan di bawah PBSNT iaitu Terengganu FC (TFC), Terengganu FCll (TFCll), Terengganu FC lll (TFClll), Terengganu FC lV (TFClV) dan Terengganu FCV (TFCV).

"Jumlah perbelanjaan lebih kurang sama sahaja dengan negeri lain dan kita akan pastikan ia mendapat pulangan yang baik dari segi pencapaian pasukan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jersi dan memperkenalkan pemain pasukan TFC di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus, malam tadi.

Seramai 26 pemain TFC telah diumumkan termasuk bintang sensasi musim lalu, Lee Andrew Tuck, Igor Zanjic, Chanthacheary Bin dan Tchetche Kipre Hermann Brice selain pemain import terbaru Sanjar Shaakhmedov daripada kelab Lokomotiv Tashkent, Uzbekistan.

Arena bola sepak Terengganu musim 2018 mencatat kenangan manis apabila TFC merangkul naib juara Piala Malaysia, TFCll memenangi Piala Cabaran yang baru diperkenalkan, TFClll juara Piala Presiden manakala TFClV naib juara Piala Belia.

-Bernama

Lihat Komen
ADS