Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mohamad Ridzuan atlet terbaik Asia 2018
Diterbitkan:  Feb 6, 2019 6:10 PM
Dikemaskini: Feb 8, 2019 1:08 AM

Atlet elit paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menjulang nama negara selepas beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Asia 2018.

Anugerah berkenaan adalah anjuran Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) dalam memberi pengiktirafan kepada atlet-atlet para yang cemerlang di rantau Asia.

Dalam majlis yang berlangsung awal pagi tadi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohamad Ridzuan, atlet olahraga para negara itu menerima anugerah berkenaan daripada presiden APC Majid Rashed dan presiden Majlis Paralimpik Emiriah Arab Bersatu, Mohamed Alhameli.

"Dik Wan rasa amat gembira menerima awards ini. Dan amat berterima kasih kepada Asian Paralympic Committee kerana memberi recognition kepada saya," katanya dalam dalam status di laman Instagram milik beliau.

Mohamad Ridzuan atau lebih senang dengan panggilan Dik Wan dalam posting berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya yang sentiasa memberi sokongan untuk terus berjaya dan juga jurulatihnya, R.Jeganathan serta Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Beliau mencipta rekod dunia dan juga rekod Sukan Para Asia dalam acara 100m lelaki T36 (celebral palsy) ketika beraksi pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober tahun lepas.

Pada temasya berkenaan, atlet yang berasal dari Perlis itu turut meraih dua lagi pingat emas melalui acara lompat jauh dan 400m kategori yang sama.

Mohamad Ridzuan adalah pemenang pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

- Bernama

Lihat Komen
ADS