Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tarikh Le Tour de Langkawi 2019 masih dibincangkan

Tarikh penganjuran Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) masih dalam perbincangan dengan pihak terlibat, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata penetapan tarikh yang bersesuaian penting bagi memastikan acara tersebut mendapat liputan media secara meluas, sekaligus memulihkan status sukan berbasikal itu di persada dunia.

"Saya dimaklumkan bahawa perkara ini sedang dibincangkan dan ia perlu dapat kata putus daripada pihak penganjur, persatuan dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

"Kita nak pastikan bahawa rangkaian media dapat laporkan (LTdL 2019) sebaik mungkin. Ia juga supaya dapat memulihkan status LTdL dan mengembalikan zaman kegemilangannya," katanya kepada pemberita selepas melawat di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan cadangan pihak penganjur LTdL 2019, Human Voyage (M) Sdn Bhd untuk menunda tarikh penganjuran LTdL berikutan bertindih dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) iaitu pada 26 hingga 30 Mac depan.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq turut berkata bahawa pelantikan pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (YAKEB) hanya akan ditentukan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk bekas atlet.

"Esok saya ada pertemuan dengan YAKEB. Ada beberapa cadangan (nama calon) disampaikan. Saya dan pihak terlibat akan memastikan pilih calon terbaik (untuk jawatan Presiden YAKEB) dan juga boleh turun padang serta menjaga kebajikan atlet secara menyeluruh," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS