Malaysiakini

Ketiadaan lima pemain runsingkan Kim Swee

Bernama  |  Diterbitkan

Lima pemain yang tidak dilepaskan kelab masing-masing bagi menyertai skuad Bawah 23 (B-23) negara menghadapi Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) B-22 2019 memberi tamparan negatif kepada persiapan pasukan.

Lima pemain berkenaan adalah pertahanan sensasi negara, Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Daniel Amier Norhisham (Felda United), Muhammad Zahril Azri Zabri (Felda United), Muhammad Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah).

Daripada lima pemain itu, tiga daripadanya merupakan pemain tengah dan keputusan kelab yang enggan melepaskan pemain masing-masing ternyata merungsingkan ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee.

“Daripada senarai 26 pemain dipanggil, yang merungsingkan adalah di bahagian tengah dan kita tahu dalam senarai itu Daniel, Zahril dan Fadzrul, ketiga-tiganya pemain tengah. Kini tinggal dua sahaja pemain di bahagian tengah, hanya tinggal Nik Akif (Nik Akif Syahiran Nik Mat) dan Danial (Muhammad Danial Haqim Draman).

“Jadi saya perlu memikirkan pengganti di bahagian tengah terutamanya dan kemungkinan besar saya akan panggil dua atau tiga pemain esok untuk memastikan kita ada pemain secukupnya di setiap posisi sebelum ke Kemboja,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad muda negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Kim Swee, bagaimanapun, menaruh harapan untuk mendapatkan keputusan positif di Kemboja serta berharap pemain yang dipilih dapat mengisi kekosongan dan menampilkan persembahan terbaik.

“Apa yang penting saya harap pemain yang ada bersama skuad kali ini dapat buktikan mereka boleh mengisi slot ditinggalkan tetapi kita juga perlu berusaha keras untuk dapatkan keputusan cukup baik,” katanya.

Dalam pada itu, hari pertama kem latihan pusat skuad B-23 negara hari ini menyaksikan hanya 14 pemain menjalani latihan sementara lima lagi pemain dari Kelantan dijangka melapor diri selewat-lewatnya malam ini, dan dua pemain lagi masing-masing dari Felda United dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) akan melapor diri esok.

Kejuaraan AFF B-22 2019 akan berlangsung pada 17-26 Feb dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan tuan rumah, Myanmar, Indonesia dan Singapura sementara Kumpulan A dibarisi Thailand, Filipina, Timor Leste, Vietnam, Laos dan Brunei.

- Bernama