Paling Popular
Terkini

Kira-kira seminggu menjelang perlawanan pembukaan Kejohanan Bola Sepak Agensi Kerajaan Negeri Kelantan 2019, skuad Kemudi FC menerima suntikan semangat daripada barisan penaja.

Walaupun berstatus sebagai pasukan jemputan, skuad yang dibarisi oleh pemain dari kalangan pengamal media Kelab Media Darul Naim (Kemudi) itu tetap bertekad untuk menjadi pencabar digeruni lawan.

Pengurus pasukan, Azran Fitri Abd Rahim berkata, skuad yang dibimbing jurulatih Chia Chin Lin itu sudah bersiap-sedia bagi mengharungi cabaran kejohanan itu.

Menurutnya, persiapan rapi sudah dibuat termasuk mengadakan beberapa siri perlawanan prakejohanan yang berlangsung pada Januari lalu.

"Justeru, saya berharap para pemain menunjukkan semangat yang tinggi dan mencipta kemenangan selain mengeratkan hubungan silaturrahim antara pemain.

"Kita juga berterima kasih kepada barisan penaja yang sudi menyokong kami dalam pelbagai aspek dalam usah mempersiapkan pasukan sebagai mungkin," katanya kepada media selepas menerima tajaan makan daripada syarikat makanan segera terkemuka McDo­nald’s di Kota Bharu, Kelantan semalam.

Hadir sama Penolong Pengurus McDonald's Pengkalan Chepa, Yusri Husain, Penolong Pengurus Kemudi FC, Nik Mohd Zulhafiz Zulkifli dan 20 pemain terlibat.

Azran Fitri berkata pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada barisan penajaan terdiri daripada PUC Sport, Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) dan Jamu Nenek Sdn Bhd atas kesudian menaja skuad Kemudi FC.

"Kita berharap kejohanan dapat berlangsung dengan lancar dengan penuh semangat kesukanan sekali gus mencapai matlamat penganjurnya, " ujarnya.

Sebagai rekod, kejohanan itu melibatkan 16 pasukan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) bermula 15 Februari ini.

Kemudi FC bakal menentang pasukan Pos Malaysia bagi perlawanan pertama pada 16 Februari nanti.

Lihat Komen
ADS