Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KBS peruntuk lebih RM20 juta bangunkan sukan di Kelantan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntuk lebih RM20 juta pada tahun ini bagi membangunkan dan membaikpulih kemudahan infrastruktur di Kelantan, kata Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, antara kemudahan yang akan dibina ialah beberapa padang sintetik serta menaiktaraf Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini.

"Saya juga nak pastikan pada masa hadapan, bila tibanya peluang, kalau boleh kita nak anjurkan Sukan Malaysia (Sukma) di Kelantan. Bila anjur Sukma akan ada pembangunan sukan yang lebih menyeluruh dan lebih banyak dana yang diperuntukkan seperti apa yang berlaku di Perak dan Johor.

"Kita juga nak pastikan setiap kawasan di Kelantan ada pembangunan infrastruktur sukan yang secukupnya dan kita akan mengadakan kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya selepas merasmikan Padang Bola Sepak Sintetik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, hari ini.

Padang sintetik itu, yang mula dibina pada pertengahan 2017 dan siap pada awal tahun ini, menelan belanja sebanyak RM2.5 juta serta yang pertama dibina di sekolah di negeri ini.

Syed Saddiq berkata sukan mampu untuk menyatupadukan rakyat tidak kira agama, bangsa atau fahaman politik serta menjadi teras untuk pembangunan di sesuatu kawasan.

"Bagi anak muda pula, mereka akan mempunyai satu tempat baharu untuk bersantai bersama rakan-rakan, jadi mereka tak perlu merempit atau hisap gam. Sukan boleh dijadikan tempat mereka berkumpul," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS