Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Indonesia kemuka tawaran jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Indonesia telah mengemukakan tawaran untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2032, kata agensi berita Antara. Ini susulan selepas negara itu mendapat pujian atas penganjuran Sukan Asia tahun lalu. Indonesia walau bagaimanapun dijangka berdepan persaingan hebat dari India dan Korea Utara serta Korea Selatan yang membuat tawaran bersama.

Duta Indonesia ke Switzerland Muliaman D Hadad mengemukakan surat dari Presiden Joko Widodo kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) minggu lalu.

"IOC mengakui keupayaan Indonesia semasa Sukan Asia dan Sukan Para Asia 2018," kata agensi berita itu.

"Kami rasa terdapat asas yang kukuh."

Seorang pegawai kanan di Kementerian Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Gunawan, mengesahkan tawaran itu.

Jika negara Asia yang paling ramai penduduk itu dipilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas, Indonesia akan menjadi negara keempat Asia untuk melakukannya, selepas Jepun, China dan Korea Selatan. IOC akan memilih tuan rumah 2032 menjelang tahun 2025.

Tokyo akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik akan datang pada 2020, dengan Paris berjaya menganjurkan sukan itu pada 2024 dan Los Angeles pula empat tahun kemudian.

Lihat Komen
ADS