Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Menteri harap tiada lagi modus operandi selamatkan persatuan bola sepak

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap tidak akan ada lagi modus operandi untuk kerajaan menyelamatkan mana-mana persatuan bola sepak yang gagal melunaskan pembayaran gaji kepada pemain dan staf mereka.

Beliau berkata ini adalah kitaran setiap kali apabila persatuan berbelanja mewah pada permulaan musim dengan beli banyak pemain tetapi kemudian tidak mampu dibayar, dan akhirnya mengharapkan kerajaan negeri untuk melunaskan bayaran.

“Bila kerajaan negeri tidak boleh bayar, kerajaan negeri pula minta kerajaan persekutuan untuk bayar. Kalau modus operandi ini tidak berjaya, kerajaan negeri akan jual beberapa tanah mereka.

“Paling banyak menanggung akibatnya adalah pemain, penyokong dan rakyat secara keseluruhan dan kes ini berulang kali berlaku. Dalam isu ini, kita (Kementerian Belia dan Sukan) tersepit di tengah-tengah, oleh itu saya harap modus operandi yang kita selalu 'bail-out' (menyelamatkan) tidak boleh ada lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program larian ‘Run Walk Plog 2019’ anjuran kelab Rotary Malaysia hari ini. Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.

Mengulas mengenai Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang gagal membayar gaji pemain dan kakitangannya, Syed Saddiq berkata PFA berbelanja mewah apabila membeli ramai pemain dengan harga yang mahal sehingga akhirnya tidak mampu membayar gaji pemain mereka.

Beliau juga mengingatkan setiap persatuan bola sepak lebih bijak untuk membuat pelaburan membeli pemain bersesuaian mengikut kemampuan kewangan persatuan masing-masing.

Pada Januari lepas, media melaporkan seramai 27 pemain dan kakitangan PFA mendakwa tidak dibayar gaji sejak Mac tahun lepas terpaksa menjadi nelayan dan kerani untuk menjana pendapatan sampingan manakala sebahagian lagi mengambil upah mencuci kereta setelah tidak menerima tunggakan gaji dalam tempoh sembilan bulan itu.

Sementara itu pada majlis berasingan, Syed Saddiq berkata peranan media adalah sebagai 'semak dan imbang' kepada kerajaan dan prinsip kebebasan media melapor bagi mana-mana pihak wajar dihormati.

Berucap ketika merasmikan pertandingan Boling Mesra Persatuan Media Wanita Malaysia (Pertama) 2019, Syed Saddiq merakamkan penghargaan kepada warga media khususnya golongan wanita yang disifatkan unik dalam melaporkan liputan dalam keadaan mencabar kini.

Kementerian, katanya, komited dalam membangunkan sukan melibatkan wanita di negara ini termasuk akademi khas melatih pemain sukan bola sepak wanita sama seperti melatih pemain bola sepak lelaki yang ada sekarang.

"Media juga perlu berperanan dalam membantu kerajaan dengan memberi lebih banyak liputan kepada sukan wanita ini supaya mereka mendapat lebih banyak tajaan untuk membantu pembangunan sukan mereka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS