Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan menggugurkan atlet negara tanpa sebab yang munasabah, kata ketua pengarahnya, Ahmad Shapawi Ismail.

Merujuk kepada dakwaan bekas atlet berbasikal para negara, Mohamad Syazwan Roshdi, dalam laporan portal tempatan, Ahmad Shapawi berkata MSN akan menyediakan kemudahan latihan dan pertandingan kepada atlet yang sentiasa menunjukkan peningkatan prestasi dan mempunyai potensi untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

Ahmad Shapawi menerusi satu kenyataan rasmi hari ini berkata, pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1, C2, C3 (pelbagai kecacatan anggota) Sukan Para Asean ke-9 itu sendiri maklum tentang limitasi peningkatan prestasi beliau sebelum digugurkan daripada program untuk 2019.

“Semasa perbincangan tentang karier beliau selepas tidak dilanjutkan kontraknya sebagai atlet, MSN dimaklumkan bahawa beliau mempunyai pekerjaan sebagai jurujual di sebuah syarikat swasta.

"MSN tidak dimaklumkan langsung tentang masalah beliau terkandas dalam usaha mencari pekerjaan di Singapura.

“Mengenai dakwaan beliau bahawa dilayan seperti penjenayah apabila terpaksa diiringi pengawal keselamatan ketika memasuki premis MSN, ianya adalah merupakan prosedur biasa, khususnya apabila atlet lain tidak berada di dalam bilik kerana menyertai pertandingan ketika beliau datang ke asrama untuk mengambil barang-barang beliau," katanya.

Menurut Ahmad Shapawi lagi beliau juga difahamkan Mohamad Syazwan ingin mengambil barang yang ditinggalkan di dalam bilik lain, bukannya bilik asal sebelum ini.

Justeru katanya sekiranya perlaksanaan prosedur keselamatan tersebut menyinggung perasaan Mohamad Syazwan, Ahmad Shapawi berkata beliau meminta maaf bagi pihak MSN.

Mohamad Syazwan merupakan atlet berbasikal para kategori yang berada dalam program Paralimpik MSN bermula 2015 melalui program pencarian bakat MSN.

Menurut Ahmad Shapawi, pelumba terbabit diberikan peluang untuk mempertingkatkan lagi daya kayuhannya bagi menyaingi atlet lebih rendah kategori daripadanya

“Beliau telah diberi peluang untuk menyertai pertandingan di Kejohanan Dunia Trek UCI Los Angeles pada Mac 2017 bertujuan untuk klasifikasi kategori beliau selain menyertai APG 2017 dan Kejohanan ACC 2018 di Nilai.

“Jawatankuasa Pengelola Sukan Para Asean 2017 turut berjaya menganjurkan acara lebuh raya yang melibatkan kategori Syazwan dan ekoran daripada itu, beliau berjaya mendapatkan pingat emas buat negara,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata pelumba itu terpaksa digugurkan kerana prestasinya tidak menunjukkan peningkatan pada 2018.

Katanya empat jurulatih berbasikal para termasuk ketua jurulatih Johari Nayan sebulat suara memutuskan untuk tidak mengekalkan Mohamad Syazwan.

Pandangan jurulatih tersebut dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemilihan Atlet Para bagi Program Latihan 2019 yang melibatkan MSN, Majlis Paralimpik Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Institut Sukan Negara.

Cadangan itu kata Ahmad Shapawi, kemudian persetujui MSN.

Mengenai dakwaan bahawa Mohamad Syazwan tidak diberikan kelengkapan yang secukupnya untuk bertanding, Ahmad Shapawi menjelaskan bahawa atlet para sememangnya tidak disediakan basikal secara persendirian untuk acara trek sebaliknya menggunakan basikal yang sedia ada mengikut saiz masing-masing.

“Beliau ada dibekalkan dengan basikal untuk acara lebuh raya memandangkan pada asalnya dia adalah pelumba acara lebuh raya.

"Beliau menggunakan basikal trek yang disediakan MSN pada kejohanan yang disertai dalam acara trek termasuk atlet-atlet lain,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS