Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pengurus 'The Cops' kecewa prestasi hambar pasukan
Diterbitkan:  Mar 9, 2019 10:13 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Pengurus pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kamarul Ariffin Mohd Shahar tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa beliau terhadap prestasi hambar pasukannya yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam enam aksi Liga Premier 2019 setakat ini.

Pasukan PDRM hari ini tewas tipis 0-1 kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import dari Iran, Milad Zanidpour Mansour pada minit ke-88, apabila rembatannya gagal di selamatkan oleh penjaga gol PDRM, Mohd Shahril Sa’ari.

Bercakap ada sidang media selepas perlawanan itu, Kamarul Ariffin bagaimanapun yakin bekas pengendali PKNS FC dan Melaka United, E. Elavarasan yang akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih baharu PDRM dalam masa terdekat, mampu merencanakan strategi yang baik untuk membangkitkan semula pasukan itu.

PDRM sebelum ini menjadi pasukan pertama Liga Malaysia yang merehatkan jurulatih, apabila Fauzi Pilus direhatkan selepas kekalahan kepada pendatang baharu, Selangor United pada 23 Februari lalu.

“Dalam enam perlawanan kita lalui, kita menguasai perlawanan tetapi tiba-tiba kena satu gol. Perlis yang tak bayar gaji pun ada menang (sebelum disingkirkan) manakala pasukan lain yang tak bayar gaji beberapa bulan pun ada menang.

“Kita (PDRM) bayar gaji tepat pada tarikh 15 hari bulan, campur pula dengan bayaran bonus yang dibayar walaupun kalah, tetapi masih tidak boleh menang. Apabila jurulatih memberi kata-kata semangat, fisioterapi saya yang lebih bersemangat daripada pemain,” keluh beliau.

Skuad ‘The Cops’ memulakan kempen musim ini dengan kekalahan 1-3 kepada UiTM FC, diikuti keputusan seri 1-1 menentang Negeri Sembilan, tewas 1-0 masing-masing kepada Pulau Pinang dan Selangor United serta di benam 3-1 oleh Sabah, yang menyebabkan pasukan itu menghuni tangga tercorot dalam saingan melibatkan 11 pasukan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin berkata pihaknya akan mengkaji untuk memperbaiki beberapa kelemahan pada pasukan, terutamanya di jentera serangan.

“Misi utama adalah membawa balik paling sikit satu mata (kerana beraksi di tempat lawan), tetapi Alhamdulillah pemain saya dapat menyerap tekanan dengan baik untuk meraih tiga mata.

“Ada sedikit masalah di kawasan serangan kerana kombinasi di kawasan serangan masih belum mencapai apa yang saya nak. Tapi saya realistik mereka sedang mencuba dan berharap akan lebih tajam keran gol yang menentukan keputusan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS