Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pelajar Henry Gurney kini boleh jadi atlet negara
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 5:16 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia memberi ruang dan peluang kepada pelajar Sekolah Henry Gurney di Telok Mas di Melaka bersaing bagi merebut tempat dalam pasukan kebangsaan dan bergelar atlet negara.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sebelum ini mereka hanya diberi peluang beraksi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan ada yang mampu meraih pingat emas dalam acara tinju.

“Saya difahamkan bahawa ada seorang pelajar layak mewakili negara ke Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok, Thailand baru-baru ini namun mengikut undang-undang negara dia tidak boleh keluar negara kerana masih menjalani hukuman.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya akan lakukan perbincangan dengan (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencari jalan supaya kes sebegini tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah itu hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Malaysia Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail.

Syed Saddiq juga berkata KBS akan menyerahkan gelanggang tinju yang dihadiahkan oleh juara tinju dunia, Manny Pacquiao kepada Sekolah Henry Gurney sebagai menghargai usaha pelajar-pelajar di tersebut.

"Mereka ini merupakan aset negara dan perlu diberi peluang untuk mewakili negara,” katanya, menambah sukan merupakan alternatif terbaik untuk membentu masyarakat, khususnya generasi muda.

Seramai 61 pelajar Sekolah Henry Gurney terlibat dalam program KBS iaitu 25 dalam acara tinju, 18 pelajar dalam Muay Thai dan 18 lagi dalam acara angkat berat​​​​​​​.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata KBS juga akan berusaha membantu menambah kemahiran pelajar Sekolah Henry Gurney melalui projek rintis bersama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang dijangka dilaksanakan bulan depan.

“Kita akan menggerakkan program perintis dengan IKTBN Chembong, Negeri Sembilan dan jika berjaya program tersebut akan diperluas ke seluruh negara. Ini dapat membantu belia berisiko untuk terus maju ke depan​​​​​​​,” katanya.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS