Malaysiakini

PAC gesa sedia SOP selenggara aset kompleks sukan

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif bagi memastikan aset Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (KSNBJ) dapat digunakan dengan baik dalam tempoh jangka masa panjang.

Ia adalah antara cadangan PAC berhubung pengurusan projek pembangunan kemudahan sedia ada di KSNBJ yang merangkumi Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) berikutan isu keselamatan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2.

Pengerusi PAC, Dr Ronald Kiandee berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sewajarnya menyediakan anggaran keperluan untuk membiayai kos penyenggaraan yang mencukupi bagi KSNBJ termasuk kajian penanda aras stadium terbaik di negara ini.

"PAC juga meminta KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk menyediakan bajet dan anggaran peruntukan tambahan, sekiranya PSM tidak dapat menjana dana secukupnya," kata Kiandee dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata PAC juga mengesyorkan supaya PSM bekerjasama dengan Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB), anak syarikat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), yang menjalankan projek berkenaan untukmenyediakan SOP dan latihan bagi kakitangan PSM.

Selain itu, PAC juga mencadangkan KBS dan PSM mendapatkan dan menyimpan dokumen penting berkaitan projek itu seperti lakaran gambar sedia ada serta rekod penyenggaraan dalam format digital.

"Kami juga mengesyorkan Ketua Audit Negara menjalankan audit susulan terhadap PSM dua tahun dari tarikh laporan PAC dibentangkan," kata Kiandee.

Menurut beliau, PAC telah memanggil Ketua Setiausaha KBS, Lokman Hakim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman semasa prosiding pada 9 Jan lalu untuk memberikan laporan.

Berdasarkan keterangan daripada prosiding berkenaan, KBS berjaya melaksanakan projek itu dalam tempoh yang singkat iaitu 17 bulan menjelang temasya Sukan Kuala Lumpur 2017.

"Pengeluaran Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) kepada RJSB adalah selepas mendapatpengesahan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkuasa tempatan lain yang mengesahkan KSNBJ adalah dalam keadaan yang baik seperti yang dikehendaki kerajaan.

"Pelaksanaan projek oleh RJSB juga adalah berkualiti tinggi kerana berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa selepas menjalani proses pembangunan semula," katanya.

Menurutnya, antara 10 anugerah peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang dimenangi ialah Stadium Terbaik oleh World Stadium Congress 2018 Award (Belanda); Anugerah Rekaan Lampu Luar 2018 (Bangkok); dan Anugerah Seni Bina Antarabangsa 2018 (Amerika Syarikat).

Sementara itu, MRCB, dalam satu kenyataan, memaklumkan pihaknya meneliti pandangan yang dikemukakan PAC berhubung pembangunan semula KLSC di Bukit Jalil.

"MRCB telah meneliti pandangan yang telah dikemukakan oleh PAC dalam siaran akhbarnya hari ini mengenai pembangunan semula KLSC.

"MRCB mengambil maklum pandangan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas pengiktirafan PAC dan kerajaan terhadap pencapaian kami berkaitan projek ini," kata syarikat berkenaan.

- Bernama