Kedah puas hati ikat JDT
Pengendali pasukan Kedah Aidil Sharin Sahak berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemain walaupun hanya berkongsi satu mata pada pertemuan dengan JDT yang berlangsung Jumaat malam.
Beliau mengakui ia bukan pertemuan yang mudah namun berbekalkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi, anak buahnya berjaya menidakkan tiga mata penuh pasukan pelawat dengan membawa pulang satu mata.
"Konsisten itu yang penting, apabila kita konsisten bermain di dalam corak permainan yang beremosi (high tempo), kita mampu mengawal perlawanan secara berdisiplin dan memberi tentangan di dalam kawasan masing-masing.
"Alhamdulillah konsistensi yang ditunjukkan berhasil apabila kita berjaya menyekat setiap kemaraan pasukan untuk menambah jaringan dan pada masa yang sama pemain kita terus mencipta peluang yang menarik.
"Saya memuji semua pemain yang memberi seratus peratus komitmen kepada pasukan apabila diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab yang diberikan," katanya kepada pemberita Jumaat malam.
Aidil Sharin berkata prestasi terbaik turut dipamerkan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Che Kassim kerana telah menidakkan sekurang-kurangnya tiga cubaan tepat di hadapan pintu gol.
Selain itu, barisan pemain pertahanan yang diketuai Khairul Helmi Johari turut berjaya mengekang pemain JDT daripada bergerak bebas walaupun tanpa pertahanan import, Renan Da Silva Alves.
Pada perlawanan penuh dramatik itu, Kedah berjaya mengikat JDT dengan jaringan 1-1 menerusi Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-29 walaupun pasukan pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-9 menerusi sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid.
"Tahniah juga kepada penyokong yang hadir memenuhi stadium yang membantu meniup semangat pasukan untuk bermain bermati-matian malam ini," katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan JDT Luciano Gabriel Figueroa berkata pasukannya telah pun berusaha menambah jaringan namun kecemerlangan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal dan kekebalan pertahanan negeri ini menyebabkan pemainnya gagal untuk menambah gol pada perlawanan itu.
Sehubungan itu, katanya JDT akan terus berusaha memperbaiki beberapa kelemahan agar terus kekal dalam carta.
Lebih 25,000 penyokong kedua-dua pasukan hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing pada perlawanan malam tadi di Stadium Darul Aman di sini.
- Bernama
MDF NHAL2 AKT
Saturday , 30 March 2019

