Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Lin Dan: Saya hanya bersara bila Chong Wei bersara

Juara dunia lima kali dari China, Lin Dan, berkata beliau akan menamatkan kariernya dalam sukan badminton, hanya sekiranya saingan utamanya dalam sukan itu, Lee Chong Wei juga memutuskan untuk berbuat demikian.

Katanya, ketika ini beliau akan terus bermain dan berusaha sebaiknya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain berumur 36 tahun yang pernah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik dua kali itu mengakui bahawa beliau sedang berjuang sebaik mungkin dalam arena badminton untuk mencabar diri sendiri, di samping menampilkan teladan baik buat pemain-pemain muda.

“Saya masih bemain kerana saya mahu mencabar diri sendiri kerana sebelum ini tidak ada pemain badminton di peringkat umur saya ini yang masih bermain dengan baik.

"Saya juga berhasrat untuk mempamer contoh teladan baik kepada pemain-pemain muda untuk mengikuti jejak langkah saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya beliau akan terus bermain selagi mana beliau bebas daripada sebarang kecederaan dan tubuh badannya sihat.

“Bagi saya, apa yang hebat ketika ini ialah saya tidak mengalami apa-apa kecederaan atau sakit.

"Jika saya ada sebarang masalah kecederaan atau masalah kesihatan, mungkin saya akan bersara, tapi ketika ini saya tidak ada apa-apa masalah, jadi saya akan terus mencabar diri sendiri dan berusaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.

Dalam perlawanan pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia hari ini, pemain ranking ke-16 dunia itu menewaskan Chou Tien Chen dari Taiwan, yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.

Lin Dan kalah dalam set pertama kepada pemain berumur 29 tahun itu, sebelum bangkit untuk memenangi set kedua dengan 21-19, dan seterusnya selepas mendapat sorakan hebat daripada peminat Malaysia, beliau terus bekerja keras untuk memenangi set ketiga dengan 21-19, sekaligus membolehkan beliau mara ke pusingan kedua esok.

Esok, Lin Dan akan berentap dengan Suppanyu Avihingsanon dari Thailand yang menewaskan pemain Malaysia, Lee Zii Jia dengan 21-17, 19-21, 21-15.

- Bernama

Lihat Komen
ADS