Malaysiakini

Salah hiasi muka depan Time, 100 individu paling berpengaruh

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penyerang bola sepak sensasi Liverpool, Mohamed Salah, 26, menghiasi kulit muka depan majalah berita antarabangsa Time dalam isu 100 individu paling berpengaruh di dunia hari ini.

Salah masuk dalam kategori Titan (gergasi) bersama antaranya CEO Facebook Mark Zuckerberg dan jaguh golf Tiger Woods dalam senarai individu paling berpengaruh dunia itu.

Salah dalam wawancara edisi majalah Time tersebut dipetik menyeru kaum lelaki Muslim seluruh dunia supaya mengangkat martabat wanita dan menghormati mereka.

“Saya rasa kita perlu ubah cara melayani wanita dalam budaya kita.

“Ia bukan satu pilihan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan kepentingan dalam menyokong hak wanita dalam masyarakat.

“Saya kini menyokong wanita lebih dari sebelum ini.

“Ini kerana saya fikir mereka berhak mendapat lebih daripada apa yang dinikmati mereka hari ini,” katanya.

Beban dipikul makin berat

Pemain bola sepak kelahiran Nagrig itu telah menjadi sanjungan rakyat Mesir.

Keupayaanya dilihat selepas berjaya memimpin pasukan negara itu sehingga layak ke Piala Dunia 2018 Rusia buat pertama kali selepas 28 tahun.

Mengakui sedikit tertekan dengan populariti yang dimilikinya, beliau merasakan beban amanah yang dipikul semakin berat.

“Saya tahu orang meletakkan harapan tinggi pada saya.

“Ketika anak kecil juga memakai jersi dengan nama saya. Itu membuatkan saya lebih tertekan,” katanya.

Namun begitu, Salah juga berkongsi kisah duka mengharungi kehidupan penuh liku demi mengejar impiannya.

“Pada awalnya saya amat menderita kerana bahasa, budaya dan terpaksa kerja keras.

“Tetapi, saya gembira dapat berada di sini hari ini,” ujarnya yang berhijrah ke Liverpool dua tahun lepas.

Belanjawan 2020
  • Infografik
    Carta & Graf
  • Kuiz
    Apa anda dapat?
  • Undian
    Suka atau tidak?
  • Laporan langsung
    Laporan langsung kami