Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Hari ini Mike dapat rumah, yang lain tidak semestinya

Tidak semua ahli sukan negara akan mendapat habuan daripada kerajaan seperti yang diterima jaguh bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata ia bergantung kepada tahap pencapaian setiap ahli sukan negara.

“Tak semestinya semua (atlet akan) dapat rumah percuma.

“Tetapi mungkin kita bantu mereka ini dengan cara lain (dan bergantung kepada) tahap pencapaian masing-masing," kata Khalid.

Mike dan 'kunci' rumah barunya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan kunci unit sumbangan untuk Mohd Syarul Azman di Residensi Jalilmas, Bukit Jalil, hari ini.

Khalid diminta mengulas berapa ramai ahli sukan yang membuat permohonan bantuan perumahan seperti Mohd Syarul Azman.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mike ialah juara dunia tiga tahun berturut-turut bagi pertandingan bina badan.

'Baiki ekosistem'

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata setelah tiga kali menjadi juara dunia, masalah kebajikannya tidak patut lagi timbul.

“Betul, kita kena tengok kepada asas.

“Macam Mike, dia dah tiga kali jadi juara dunia.

“Dan mungkin saya tak sepatutnya (masih) bercakap tentang masalah kebajikan dia.

“Tapi ini adalah hasil daripada sumbangan besar beliau kepada negara dengan tiga kali menjadi juara dunia sebelum ini,” katanya.

Syed Saddiq 

Mengulas rancangan kementeriannya dalam usaha sama dengan syarikat pemaju bagi membolehkan ahli sukan mendapat kemudahan perumahan, Syed Saddiq berkata pihaknya akan cuba “memperbaiki ekosistem” berkaitan.

"Kalau boleh kita nak cuba memperbaiki ekosistem secara keseluruhan supaya kes seperti Mike ini tidak berulang lagi dan atlet-atlet lain juga akan dapat dibantu.

"Dan sebab itu saya tekankan kolaborasi antara kementerian perlu sentiasa rapat dan juga bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri yang lain yang ada hubungan lebih rapat dengan syarikat-syarikat pemaju," katanya.

Menurut Syed Saddiq, beliau begitu ramai ahli sukan yang memerlukan bantuan yang sama diterima Mike.

"Ada atlet lain yang tulis surat kepada saya minta bantuan khususnya dari segi perumahan, tetapi di situ kita akan berkomunikasi dengan kerajaan negeri dan kerajaan negeri kadang kala memang akan bantu.

“Dan dalam bab ini kita akan pastikan bahawa (usaha) ini akan diteruskan dan ditambah baik dan saya juga berharap bahawa syarikat-syarikat pemaju turut sentiasa mendekati atlet-atlet di negara ini, katanya.

Mike hari ini menerima sumbangan rumah di Residensi Jalilmas bernilai RM198,000 daripada Khalid melalui kerjasama kementerian dengan pemaju perumahan Aset Kayamas Sdn Bhd.

Pangsapuri berkeluasan 800 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik dan dua bilik air, diubah suai serta dilengkapi sepenuhnya dengan perabot dan barang-barang elektrik bernilai kira-kira RM30,000 yang ditaja sepenuhnya oleh Aset Kayamas.

Atlet 45 tahun itu menerima sumbangan berkenaan ekoran kejayaan beliau menjadi juara dunia bina badan tiga kali berturut-turut dari 2016 hingga 2018 dan juara Asia empat kali berturut-turut pada 2015 hingga 2018.

Lihat Komen
ADS