Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Harrif tak kisah cakap Inggeris berbau Terengganu

“Berani mencuba, itu penting.

"Saya harap semua faham bahasa Inggeris-Terengganu saya,” kata pelumba basikal Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Saleh.

Kelmarin satu klip video memaparkan Mohd Harrif menjawab soalan wartawan dalam bahasa Inggeris ketika perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 baru-baru ini.

Semasa dihubungi Bernama, Mohd Harrif berkata ketika itu apa difikirkan hanyalah ingin memenuhi permintaan wartawan berkenaan yang memerlukannya bercakap bahasa Inggeris secara langsung sebelum memulakan perlumbaan dari Muar ke Putrajaya.

“Saya maklumkan pada dia bahawa bahasa Inggeris saya tak bagus tetapi diminta juga sebab ia untuk saluran media sukan antarabangsa.

"Bila ditanya... saya pun hentam sahaja, cuma rasa terkejut sebab tular pula,” katanya.

Mohd Harrif, 30, sememangnya terkenal dengan aksi spontan dan bersahaja dalam kalangan peminat sukan berbasikal malah beliau kerap bercakap dalam dialek Terengganu meskipun ditemu bual secara formal.

Beliau berkata tidak pernah sekalipun terdetik perasaan malu apabila bercakap dialek negeri kelahirannya itu meskipun berada di luar negara malah adakala bahasa Inggeris yang diucapkan kedengaran ditambah huruf ‘g’ di hujung ayat.

Namun rata-rata netizen memuji kesungguhannya menjawab soalan meskipun tidak fasih.

Paling melucukan, sebaik ditanya berhubung mesej untuk peminat tanah air, beliau yang pada awalnya bersungguh-sungguh bercakap bahasa Inggeris secara spontan menukar bercakap bahasa Melayu dengan dialek Terengganu.

Pada masa itu, dia memberi komen berhubung peluang merebut kemenangan dalam saingan LTdL 2019 dan cabaran dihadapi pelumba lain.

Pada LTdL 2019, April lepas, Mohd Harrif mengungguli peringkat kedua dari Senawang ke Melaka untuk muncul sebagai pelumba Malaysia yang kedua meraih kemenangan peringkat (stage win) selepas Anuar Manan pada 2010.

Dia juga menduduki tempat ketiga di belakang Matteo Pelucchi yang mewakili pasukan Androni Giocattoli-Sidermec, dan rakan sepasukannya, Youcef Reguigui di tempat kedua pada peringkat keenam dari Bagan ke Alor Setar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS