Paling Popular
Terkini

Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya mampu mengharapkan keajiban untuk mara ke pusingan 16 apabila mengejutkan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 pada perlawanan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunoor, Larkin, di Johor Bahru, malam tadi.

Penyerang Muhammad Syafiq Ahmad muncul wira pasukan tangga tercorot itu apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-68, sekali gus melakarkan kemenangan pertama skuad Harimau Selatan selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, peluang JDT ke pusingan seterusnya tampak sukar selepas wakil China, Shandong Luneng FC mengalahkan Gyeongnam FC dari Korea Selatan 2-1.

JDT perlu berdepan dengan kelab dari Korea itu pada aksi terakhir kumpulan di gelanggang lawan pada 22 Mei ini manakala Kashima Antlers perlu mengutip penuh ke atas Shandong Luneng FC jika berhasrat melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Dalam perlawaan itu, JDT memulakan rentak dengan penuh bersemangat apabila melancarkan serangan ke kubu kelab Jepun namun ketumpulan penyudah menafikan JDT sebarang jaringan sehingga separuh masa.

Sebaliknya, barisan depan Kashima Antlers turut mensia-sia peluang seolah-olah hilang arah apabila membolosi benteng pertahanan JDT.

Pada babak kedua, anak buah Go Oiwa yang tertekan terus melakukan asakan namun percubaan demi percubaan dipatahkan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.

Bagaimanapun, gol tunggal hadir apabila Muhammad Syafiq menerima umpanan dari tengah lalu melepasi kawalan dua pemain pertahanan Kashima Antlers sebelum melepaskan rembatan lencong yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Kwoun Suntae.


-- Benama

Lihat Komen
ADS