SUKAN

Liverpool kagumkan mufti, harap The Reds menang

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Mei 2019, 7:58 pagi

Kejayaan Liverpool melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-juara dengan menundukkan Barcelona oada Rabu lepas bukan saja diraikan dengan penuh hangat oleh penyokong skuad The Reds, malah turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan.

Hari ini Dr Zulkifli Mohamad tidak ketinggalan memanjatkan kesyukurannya atas kemenangan pasukan itu.

“[...] Walaupun tunggak utama seperti Muhammad Salah dan Roberto Firmino direhatkan kerana kecederaan, kemenangan berpihak kepada Liverpool dengan agregat 4-0.

"Justeru, keputusan akhir menyaksikan agregat 4-3,” katanya di Facebook.

Dalam aksi separuh akhir pertama di Camp Nou, Sepanyol pada 2 Mei lalu, Liverpool dijinakkan Barcelona dengan tiga gol tanpa balas.

Bagaimanapun, The Reds membuat kejutan dengan bangkit membenamkan skuad yang turut dibarisi Lionel Messi itu ketika separuh akhir kedua di Anfield.

Perlawanna itu menyaksikan Liverpool 'mengamuk' dengan membolosi gawang lawan mereka sebanyak empat kali, masing-masing oleh Georginio Wijnaldum dan Divock Origi.

Mereka menyumbang dua gol seorang.

Semangat berpasukan sangat penting

Kejayaan itu menjadikan agregat 4-3 sekaligus melayakkan pasukan itu beraksi di perlawanan akhir Liga Juara-juara di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid pada awal pagi 2 Jun ini.

Liverpool akan berdepan satu lagi kelab dari England, Tottenham Hotspur yang beraksi buat kali pertama dalam perlawanan akhir kejuaraan berprestij itu.

Untuk rekod Spurs juga melangkah ke perlawanan akhir dengan aksi yang cukup dramatik apabila gol kemenangan dicatat kurang daripada lima saat sebelum permainan tamat.

Spurs sebelum itu ketinggalan 0-1 diikat Ajax Amsterdam.

Salah merupakan antara pemain yang penting dalam kejayaan Liverpool musim ini

Ekoran kemenangan dramatik Liverpool itu, Zulkifli menggariskan sedikit pengajaran yang dapat dicontohi oleh peminat bola sepak daripada peristiwa itu.

Katanya, sifat terlebih yakin boleh memakan diri, sementara semangat kental dan azam yang kuat boleh mengubah sesuatu keputusan.

Bagi menempa kejayaan pula, pesannya, semangat berpasukan adalah acuan terbaik selain tidak mengalah dan berputus asa akan menatijahkan kejayaan luar biasa.

“Akhir kalam, saya jangkakan pada perlawanan final nanti akan lebih bergantung kepada pasukan mana yang lebih perform, nescaya dialah yang akan menang.

“Saya berpihak kepada Liverpool,” katanya mengakhiri hantaran berkenaan. 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan