Malaysiakini

11 pemain, termasuk kapten Harimau Malaya digugurkan

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat kejutan apabila menggugurkan 11 pemain termasuk kapten, Zaquan Adha daripada menyertai kem latihan sebagai persediaan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan media berkata jurulatih berusia 51 tahun itu mengekalkan 14 daripada 25 pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat sebelum ini, bagi menghadapi Piala AIRMARINE 2019.

Selain penyerang Kedah itu, tiga lagi pemain skuad naib juara Piala AFF 2018 iaitu penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United), Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan Ahmad Hazwan Bakri (Johor Darul Ta’zim) turut digugurkan.

Tujuh lagi pemain yang digugurkan adalah Rizal Ghazali (Kedah), Abdul Latiff Suhaimi (Selangor), Hadin Azman (Felda United), S. Kumaahran (JDT II), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Firdaus Saiyadi (Perak) dan Nicholas Swirad (PKNS FC).

Sebagai ganti, Cheng Hoe memanggil enam pemain yang terlibat dalam kempen Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) AFC 2020, Mac lepas iaitu empat pemain JDT – Safawi Rasid, Akhyar Rasid, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan serta Syahmi Safari (Selangor) dan Faisal Abdul Halim (Pahang).

Turut disenaraikan kembali selepas tiada dalam skuad Piala Airmarine 2019 adalah penjaga gol Farizal Marlias, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad (JDT) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak).

Dua muka baharu dipanggil bagi melengkapkan senarai 26 pemain ke kem latihan pusat yang akan bermula 27 Mei ini, ialah pemain berdarah campuran dari JDT iaitu La’Vere Corbin-Ong dan Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC).

Skuad Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-168 dunia akan menentang Nepal (161) dalam satu aksi persahabatan pada 2 Jun, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 malam.

Daripada perlawanan itu, tiga pemain akan digugurkan bagi memuktamadkan senarai akhir 23 pemain yang akan menghadapi Timor Leste pada 7 Jun dan aksi tempat lawan pada 11 Jun.

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Sepak mula kedua-dua perlawanan pada 8.45 malam.

Jika berjaya mengatasi Timor Leste, skuad Harimau Malaya akan layak ke Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia, yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan) dan akan berlangsung selama sembilan bulan untuk 10 hari perlawanan dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020.

- Bernama