Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sathianathan kecewa anak buah main sambil lewa

LIGA SUPER | Jurulatih Selangor, B Sathianathan, kecewa selepas skuad Gergasi Merah gagal melakar kemenangan ke atas PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Lumut malam tadi.

Pengendali berusia 60 tahun itu berkata keputusan seri 1-1 tidak patut berlaku jika anak buahnya bermain dengan baik dan menyempurnakan peluang yang terhidang sepanjang 90 minit permainan.

"Pemain kena ubah sikap, jangan sambil lewa, saya dah cakap dalam perbincangan dengan pemain sebelum perlawanan.

"Kita tak boleh pandang rendah keupayaan PKNP FC, namun sebaliknya yang berlaku.

"Daripada sepakan penjuru hingga ke sepakan percuma, kita tidak ambil peluang itu. Ada (pemain) yang tendang bola tak sampai sasaran dan langsung tidak membahayakan kubu gol PKNP FC. Jadi, selepas ini semuanya kita kena betulkan," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada aksi tersebut, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 hasil jaringan awang import, Olesegun Ifedayo sebelum PKNP FC menyamakan kedudukan melalui penyerang, G Mugenthiran pada minit ke-48.

Selain itu, Sathianathan berkata pemain Selangor tidak boleh menjadikan berpuasa sebagai alasan yang menyebabkan kegagalan untuk beraksi pada tahap terbaik kerana rata-rata pemain PKNP juga berpuasa, namun dilihat lebih agresif.

Dalam pada itu dia memuji aksi ditampilkan pemain PKNP FC yang bersungguh-sungguh sehingga berjaya mengunci pergerakan anak buahnya sepanjang perlawanan.

"Lebih 80 peratus serangan yang kami lakukan ke kubu mereka berjaya dipatahkan. Selain itu, taktik melengah-lengahkan masa permainan yang dilakukan juga berjaya menyekat kita daripada terus melancarkan serangan," katanya.

Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, memuji aksi yang dipamerkan anak didiknya untuk mengimbangi corak permainan pasukan pelawat.

Katanya walaupun hanya menggunakan dua tenaga import - Yashir Pinto dan Pedro Victor - namun mereka masih mampu melancarkan serangan selain menjaringkan gol penyamaan.

Mengulas aksi menentang Kuala Lumpur di tempat lawan pada 26 Mei ini, Abu Bakar berharap keputusan positif dapat dicatatkan bagi memperbaiki kedudukan semasa di tangga ke-10 daripada 12 pasukan yang bersaing dalam Liga Super.

- Bernama

Lihat Komen
ADS