Dalam keghairahan pemain dan penyokong Liverpool menjulang Piala Juara-juara Eropah awal pagi tadi, salah seorang pemainnya tidak lupa menyatakan kesyukuran kepada Allah.

Pemain kebangsaan Switzerland berdarah Albania, Xherdan Shaqiri, mengucapkan alhamdulillah di media sosial beberapa minit selepas Liverpool berjaya mencatat kejayaan berkenaan.

Kali terakhir Liverpool memenangi piala berkenaan ialah 14 tahun lalu.

Sejak itu kelab terbabit sering mengimpikan untuk mengulang semula sejarah tercatat di Istanbul itu namun gagal.

Dalam perlawanan di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid, Sepanyol jam 3 pagi tadi (waktu Malaysia) Liverpool menundukkan kelab Tottenham Hotspurs 2-0.

Ia adalah penampilan pertama Spurs dalam perlawanan akhir Piala Juara-juara.

Melalui Twitter, Shaqiri yang pernah bermain untuk kelab Bayern Munich dan Stoke menulis: “Elhamdulillah” pada jam 5.36 pagi.

 

Para peminat kelab tersebut mengetahui bahawa Shaqiri merupakan seorang muslim. Hal ini diakui sendiri olehnya pada 2014, ketika dia sedang bermain untuk kelab Stoke City.

Sementara itu seorang lagi pemain Liverpool, Mohamed Salah, berdepan kemarahan penyokong Spurs apabola dilempar dengan bekas minuman.

Kejadian tersebut berlaku selepas Salah menyumbang gol pertama buat Liverpool pada minit kedua perlawanan.

Gol itu terhasil apabila pengadil perlawanan menghadiahkan tendangan kepada Liverpool setelah pemain Spurs, Moussa Sissoko, dikatakan menyentuh bola dalam kawasan kotak penalti.

Gol yang dihasilkan oleh Salah merupakan gol kedua terpantas dalam perlawanan akhir Liga Perdana.

Divock Origi pula melengkapkan kemenangan Liverpool dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-87 permainan meskipun kelabnya diasak hebat oleh pemain Spurs.