Bekas pemain bola sepak terkemuka dunia bakal turun ke Johor untuk satu perlawanan amal 'All-Star’ antara ‘Rest of the World XI’ dan Pilihan JDT.

Demikian diumumkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui halaman Facebooknya hari ini.

"Perlawanan Amal 'All-Star’ antara ‘Rest of the World XI’ dan Pilihan JDT akan berlangsung di Larkin pada 30 Jun 2019.

"Bekas pemain-pemain bola sepak terkemuka dari seluruh dunia termasuk Ronaldo Luís Nazário de Lima, Luis Figo, Roberto Carlos, Claudio Caniggia, Marco Materazzi dan Robert Pires akan beraksi," katanya dalam hantaran di Facebook tersebut.

Menurutnya, semua hasil kutipan akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women's Aid Organisation.

"Sesi bersama penyokong untuk peluang mendapatkan autograf dan bergambar turut diadakan," katanya sambil menambah maklumat lanjut termasuk penjualan tiket akan diumumkan dalam laman sosial rasmi Johor Southern Tigers.

TMJ adalah pengerusi pasukan bola sepak negeri Johor dan juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).