Chong Wei dijangka umum gantung raket minggu depan
Jaguh badminton negara Lee Chong Wei dijangka mengumumkan persaraannya minggu depan, lapor BH Online.
Memetik sumber, laporan itu berkata Chong Wei yang kini berusia 37 tahun mengambil keputusan itu atas nasihat doktor.
Doktor yang merawatnya Chong Wei dikatakan menasihatkan agar dia tidak lagi dibebani dengan tekanan bagi mencegah kanser hidung yang dihidapinya sebelum ini kembali menyerangnya.
"Chong Wei sudah buat keputusan untuk tidak lagi bermain, tetapi dia mahu bertemu dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan jurulatihnya terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman.
"Mengikut laporan doktor, dia sudah bebas sepenuhnya daripada kanser hidung tetapi dia tidak boleh mengalami tekanan yang boleh menjadi salah satu faktor penyakit itu kembali," kata sumber itu seperti dipetik.
Chong Wei juga dikatakan sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada hujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.
Chong Wei yang dihubungi BH Online juga mengakui sudah membuat keputusan mengenai masa depannya dan akan memaklumkan mengenai perancangannya kepada BAM dan barisan kejurulatihan skuad negara.
"Selepas Hari Raya saya akan bertemu dengan Presiden BAM (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) dan jurulatih bagi memaklumkan kepada mereka mengenai perancangan saya.
"Selepas itu terserah kepada BAM untuk mengadakan sidang media bagi mengumumkannya.
"Buat masa sekarang, saya tidak boleh umumkan lagi kerana saya perlu menghormati BAM dan jurulatih saya," kata Chong Wei seperti dilapor.
Chong Wei yang mendedikasikan 19 tahun hidupnya sebagai pemain badminton profesional dan menempa nama dalam sukan itu sebagai antara jaguh dunia yang disegani.
Antara pencapaian Chong Wei adalah memenangi pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali.
Kali terakhir Chong Wei merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018 yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.

