Malaysiakini
SUKAN

Suresh raih emas di kejohanan memanah para dunia

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2019, 7:52 pagi

Pemanah recurve negara, S Suresh membanggakan Malaysia apabila menjuarai acara recurve lelaki terbuka dalam Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, di Hertogenbosch, Belanda.

Pemanah berusia 25 tahun itu memperoleh pingat emas selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 pada final yang berlangsung hari ini, menurut laman sesawang https://worldachery.org.

Beliau sebelum ini menewaskan Bato Tsydendorzhiev dari Rusia, 7-3 di peringkat separuh akhir.

Terdahulu, Bato mengalahkan penyandang juara Zhao Lixue di peringkat suku akhir, yang kemudiannya menduduki tempat ketiga selepas menang ketika menentang pemanah Iran, Pouriya Jalalipour 6-0 bagi menentukan pingat gangsa.

Dengan kemenangan ini, Suresh mengesahkan tempatnya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Atlet terakhir Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan dunia itu, ialah Allahyarham Salam Sidek yang membawa pulang pingat gangsa dalam edisi 2011.

Jurulatih Memanah Para Kebangsaan, Marzuki Zakaria berkata Suresh berhak ke atas gelaran dunia itu berdasarkan tumpuan dan kerja kerasnya sepanjang kejohanan itu.

“Kami di sini sangat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana sasaran kami tercapai, di mana Suresh layak ke Paralimpik. Kejayaan menang emas ini adalah bonus bagi kami.

Suresh telah melakukan yang terbaik, saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkannya hari ini. Beliau dilihat begitu tenang, beri 120 peratus tumpuan dan tidak gentar...pada saya dia memang berhak dan layak menjadi juara dunia,” katanya ketika dihubungi di Belanda.

Untuk rekod, Suresh memenangi pingat perak acara recurve lelaki di Kejohanan Memanah Ranking Dunia Fazza di Dubai, bulan lepas.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.