Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MPM: KJ tak kisah pencalonan ditolak tapi mahu keputusan adil

Calon bagi jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Khairy Jamaluddin tampil memberi penjelasan bahawa beliau layak bertanding untuk kerusi tersebut kerana tempoh penghantaran borang pencalonan dilanjutkan oleh badan itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau dimaklumkan bahawa Setiausaha Kehormat MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid memberitahu secara lisan bahawa pencalonan boleh dihantar sehingga 15 Jun, walaupun dalam borang pencalonan dinyatakan perlu di hantar sebelum tarikh berkenaan, bermaksud sebelum 11.59 malam 14 Jun.

“Sekiranya ada keputusan yang dibuat nanti, bahawa pencalonan itu tak sah atau dah lewat, tidak mengikut tempoh dan sebagainya, saya tidak ada masalah, saya hanya menawarkan diri sahaja...Saya hanya nak bertanding sebab ada sedikit idea untuk sumbangkan kepada MPM,” katanya dalam satu pertemuan kepada media, hari ini.

Pencalonan Khairy sebelum ini dipertikaikan kerana beliau dikatakan hanya menghantar borang pencalonan selepas tamat tempoh yang sah bagi kerusi nombor satu MPM, apabila penyandangnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin tidak mahu mempertahankan jawatan itu.

Khairy, yang juga merupakan timbalan presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia, bakal mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Megat D Shahriman Zaharudin.

Khairy juga berharap bahawa MPM dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dapat menyelesaikan isu itu sebelum pemilihan dilakukan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) MPM pada Sabtu ini, kerana kedua-dua belah pihak mempunyai masa yang cukup membuat keputusan dalam perkara berkenaan.

“Saya serah kepada kepimpinan MPM yang sedia ada untuk buat apa sahaja perbincangan dengan PJS, badan yang mengawal selia semua persatuan sukan... Hari ini Selasa, saya rasa cukup masa untuk mereka membuat keputusan sama ada pencalonan saya sah atau tidak, saya tidak mahu AGM ini dibatalkan semata-mata kerana isu ini.

“Bukan saya sahaja yang menghantar borang pada hari tersebut, saya dimaklumkan ramai juga yang hantar borang pada hari tersebut, jadi keputusan mestilah adil. Jika pencalonan saya dibatalkan, jadi semua pencalonan yang hantar borang pada hari tersebut mestilah dibatalkan pencalonan...Tapi kalau dibenarkan bertanding, semua harus dibolehkan,” katanya.

Selain Khairy, empat lagi calon yang dilaporkan menghantar borang pencalonan pada 15 Jun ialah Siti Zaharah dan Dr Naharuddin Hashim bagi jawatan naib presiden, serta Dr Radha S Krishnan dan Ng Keng Chuan bagi jawatan timbalan presiden.

Sementara itu, apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk bertanding bagi jawatan itu, Khairy berkata pergerakan Paralimpik dekat dengan hatinya dan mahukan kesinambungan dalam program kepada atlet para negara.

Untuk rekod, anak kedua Khairy, Timor, mempunyai Autism Spectrum Disorder (ASD), manakala ibu mentuanya, Tun Jeanne Abdullah merupakan Penaung MPM.

Mengulas mengenai manifestonya, Khairy berkata perancangannya sekiranya menang kerusi itu adalah untuk mengukuhkan program pembangunan dan pencarian bakat, kesinambungan dalam kerjaya atlet para selepas bersara daripada sukan.

Beliau juga bercadang untuk berunding dengan pihak Kementerian Pendidikan bagi menukar salah sebuah sekolah sukan yang khas untuk atlet para, tanpa mengeluarkan atlet normal, selain memperkemaskan tadbir urus ahli gabungan MPM untuk meningkatkan penajaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS