Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Syed Saddiq jumpa Rashid sebab undi, bukan Kafa

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan laporan sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu kononnya menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berminat menentukan hala tuju Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Unit Komunikasi Korporat KBS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perjumpaan di antara bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Rashid Abdul Rahman dengan Syed Saddiq di Menara KBS, Putrajaya, semalam lebih tertumpu kepada cadangan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Abdul Rashid yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu dilaporkan berminat untuk merebut jawatan Presiden Kafa susulan peletakan jawatan penyandangnya, Bibi Ramjani Ilias Khan, baru-baru ini.

Kafa dijangka mengadakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai ini di Wisma KAFA, Kota Bharu bagi memilih barisan kepimpinan baru untuk jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan exco.

Menurut kenyataan itu lagi Syed Saddiq bertegas tiada campur tangan atau penglibatan ahli politik dalam sukan seperti yang digambarkan dalam laporan itu.

Laporan tersebut mendakwa pertemuan di antara Abdul Rashid dan Syed Saddiq semalam turut membincangkan mengenai masa depan bola sepak Kelantan.

Sehubungan itu, KBS berharap pihak tertentu berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian menerusi laporan akhbar ataupun medium lain.

“Pelbagai pihak berkaitan perlulah merujuk terlebih dahulu kepada wakil KBS bagi mendapatkan kepastian terutama sekali terhadap isu-isu seperti ini.

"Kami sentiasa terbuka untuk dihubungi bagi tujuan tersebut," menurut kenyataan itu lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS