Gol Goulon ke Fifa untuk calon Puskas hari ini
FAM akan mencalonkan jaringan pemain pertahanan import Pahang, Herold Goulon, untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), hari ini.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata badan induk bola sepak negara itu bersetuju untuk menghantar pencalonan berkenaan selepas mendapat sokongan Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
“Pahang sudah meluluskan kepada FAM untuk mengemukakan gol tersebut kepada Fifa, dan FAM akan hantar surat pencalonan serta video jaringan tersebut kepada Fifa hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media program Asian Eleven di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini.
Dalam pada itu, Stuart menegaskan FAM tidak melihat status kewarganegaraan Goulon yang berasal dari Perancis sebagai alasan untuk tidak mencalonkan gol pemain berkenaan untuk Anugerah Puskas.
Mengambil contoh penyerang antarabangsa Brazil, Neymar, bekas kelab pemain berkenaan, Barcelona pernah mencalonkan jaringan pemain berkenaan untuk anugerah tersebut sebelum ini.
Goulon, 31, mencipta jaringan menarik dengan melakukan sepakan percuma melebihi jarak 50 meter yang melepasi jangkauan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Pahang menewaskan Perak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lepas.
Gol tersebut mendapat liputan meluas pelbagai agensi media dari serata dunia yang menyifatkan gol berkenaan sebagai antara gol terbaik pada musim ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, baru-baru ini menyifatkan gol Goulon layak dicalonkan untuk Anugerah Puskas.
Pencalonan gol Goulon adalah yang kedua pada tahun ini selepas FAM mencalonkan gol pemain sayap kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari untuk Anugerah Puskas pada Mac lepas.
Muhammad Syahmi, 21, mencipta jaringan tersebut ketika Malaysia seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Bangkok, Thailand.
Untuk rekod, bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Puskas Fifa pada 2016.
Puskas yang diperkenalkan Fifa pada 2009 ialah anugerah untuk gol terbaik daripada puluhan ribu jaringan gol sepanjang tahun.
- Bernama

