Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

LIGA SUPER | Skuad Pahang kurang mencipta peluang untuk menembusi gawang Kuala Lumpur pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Pengendalinya Dollah Salleh bagaimanapun masih menyifatkan Tok Gajah menguasai permainan dan mempamerkan prestasi yang baik, dengan dua gol bagi mengatasi pasukan pelawat untuk meraih tiga mata penuh.

"Boleh dikatakan kita menguasai hampir 60 ke 70 peratus permainan, tetapi hanya memperolehi gol melalui sepakan penalti dan satu lagi gol pada masa tambahan.

"Bagaimanapun, kemenangan ini dapat memberi suntikan kepada pemain agar lebih fokus, dalam mencapai sasaran menamatkan Liga Super di tangga kedua," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, pemain import Pahang, Herold Mark Goulon, memecah kebuntuan gol pada minit ke-57, menerusi sepakan penalti sebelum rakan sepasukan Muhammad Nur Azam Abdul Azih menjaringkan gol kedua pada minit ke-93.

Dollah berkata tumpuan kini adalah untuk persiapan kempen Piala Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi, dengan setiap pemain diberikan taklimat mengenai prestasi semasa mereka, berdasarkan permainan semalam.

"Saya sudah memberi penerangan ringkas kepada para pemain, di mana mereka perlu ubah sikap. Walaupun kemenangan ini macam tiada apa, tapi saya percaya ia memberi impak kepada Pahang untuk bangkit," katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Rosle Md Derus, berkata pihaknya akur dengan kekalahan itu berdasarkan persembahan anak buahnya.

"Bagaimanapun saya berpuas hati dari segi teknikal, kerana kekalahan kami lebih kepada masalah luaran, seperti faktor kepenatan atau pemain kecewa dengan jaringan awal pasukan tuan rumah.

"Berbanding separuh masa pertama, saya akui kami kurang dari aspek disiplin bertahan pada separuh masa kedua, sehingga memberi ruang kepada Pahang untuk menjaringkan gol pada waktu tambahan," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan Kuala Lumpur di zon penyingkiran Liga Super, Rosle optimis pasukannya berupaya bangkit walaupun kelihatan sukar di atas kertas.

"Kekalahan kepada Pahang menyebabkan kita tiada pilihan kecuali menang ke atas Felda United pada perlawanan Rabu hadapan sebelum bertemu JDT dan Perak... nampak sukar untuk menang tetapi tidak mustahil," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS