Malaysiakini

Takkan 2 hari pegang jawatan nak 'takir' saya?

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Wan Abd Rahim Wan Abdullah meminta semua pihak khususnya penyokong agar tidak mengkritiknya terlalu awal, sebaliknya memberi peluang untuk beliau mengemudi persatuan itu.

Beliau menegaskan akan berusaha sebaik mungkin untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan.

"Saya baru dua hari pegang jawatan sebagai presiden Kafa. Takkan nak takir (kritik) dah. Beri peluang dulu untuk saya terajui Kafa.

"Ini kerana saya sudah lama terbabit dengan Kafa bermula sebagai ahli majlis sehingga diangkat sebagai naib presiden. Justeru, saya akan berusaha sebaik mungkin demi Kafa," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Kafa, Afandi Hamzah dan barisan kepimpinan baru badan induk bola sepak Kelantan.

Wan Abd Rahim yang dilantik sebagai presiden Kafa dalam Kongres Luar Biasa bagi penggal 2019-2023 Sabtu lalu berkata, beberapa perkara diputuskan dalam menyuarat ahli majlis Kafa semalam.

Katanya, Kafa melantik Alex Ong selaku bendahari, Hussein Deraman sebagai setiausaha agong dan Azman Ismail sebagai pengurus pasukan.

"Selain itu, kita juga akan menubuhkan Majlis Penasihat Kafa yang dipengerusikan (Datuk) Nasir Hamzah dan akan dianggotai 10 bekas pimpinan persatuan itu.

"Majlis Penasihat itu bertujuan memberi peluang kepada pimpinan utama yang dahulu untuk salurkan pengalaman demi kebaikan bola sepak Kelantan," katanya.

Sementara itu Wan Abd Rahim ketika ditanya mengenai kesediaan Kafa menangani isu hutang persatuan itu berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu.

"Kita akan adakan mesyuarat khusus dalam masa terdekat untuk bincang perkara berkaitan (hutang).

"Ada beberapa keputusan lain kita akan sambung dalam perbincangan hujung minggu nnti. Selepas EGM kita akan adakan dua kali mesyuarat bagi menyegerakan keperluan dana," jelasnya.

Selain itu beliau berkata, Kafa juga bersetuju mengundang wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk turut serta dan mengambil bahagian dalam setiap mesyuarat majlis eksekutif Kafa.

"Sebagai menghormati PBJ kita setuju menjemput YDP (yang dipertua) ke setiap mesyuarat majlis eksekutif Kafa. Hadir dan ambil bahagian serta boleh bagi pandangan walaupun tak ada kuasa undi mengundi," kata Wan Abd Rahim.