Anis Amira gapai gangsa di Itali
Pelumba trek berbasikal wanita negara, Anis Amira Rosdi, memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih pingat gangsa di 2nd Grand Prix Citta di Velodrom Comunale di Ascoli Piceno, Itali, pada Sabtu.
Pelumba berusia 21 tahun dari Perlis itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam acara keirin wanita individu.
Pingat emas dimenangi pelumba dari Belgium, Nicky Degrendele, manakala pingat perak oleh pelumba Great Britain, Sophie Capewell.
“Alhamdulillah. Akhirnya berjaya dalam podium bagi acara keirin. Perlumbaan ulung di Itali,” kata Anis Amira dalam entri terkini di akaun Instagramnya hari ini.
Dalam acara pecut wanita individu pula, Anis Amira - yang mewakili pasukan Sime Darby - Malaysia menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.
Pingat emas dimenangi Capewell, diikuti pingat perak dimenangi pelumba tuan rumah Miriam Vece manakala pingat gangsa dimenangi pelumba Sepanyol Tania Calvo Barbero.
Sementara itu, dalam kategori lelaki pula, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang layak ke peringkat akhir selepas mencatat masa kelima terbaik, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh keseluruhan dalam acara pecut lelaki individu.
Pingat emas dimenangi Tjon En Fa dari Surinam, diikuti Jason Kenny dari Great Britain dan Aleksandr Dubchenko dari Rusia.
Dalam acara keirin lelaki, Muhammad Shah Firdaus sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17 keseluruhan.
- Bernama

