Malaysiakini

KLFA gunakan pasukan guaman sebelum adakan AGM

Bernama  |  Diterbitkan

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menggunakan khidmat satu pasukan guaman bagi memastikan badan induk itu dapat menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada November ini dengan lebih teratur.

Ahli Jawatankuasa KLFA, R. Kannan berkata keputusan untuk menggunakan pasukan guaman berkenaan dicapai dalam mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) KLFA yang bersidang pada bulan lepas.

“Pasukan guaman ini akan menasihati kami langkah seterusnya yang harus dilakukan sebelum kami mengadakan AGM pada November nanti,” katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, sembilan ahli gabungan KLFA yang kini digantung keahlian, dilaporkan membuat aduan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) susulan kegagalan KLFA mengadakan mesyuarat pemilihan AJK bagi penggal 2018-2022 pada November 2018.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi surat bertarikh 22 Feb lepas, telah mengarahkan KLFA untuk mengadakan kongres tahunan mereka sebelum atau pada 31 Mei ini atau berdepan tindakan pembatalan pendaftaran oleh PJS.

KLFA bagaimanapun dilaporkan menghantar permohonan baharu kepada PJS, beberapa bulan lepas yang bersetuju dengan cadangan KLFA untuk mengadakan AGM selewat-lewatnya November ini.

Dalam pada itu, Kannan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KLFA mendedahkan, sejumlah 51 pasukan telah mendaftar dengan mereka untuk bersaing dalam Liga KLFA yang bermula secara rasmi, hari ini, dan dijangka berakhir pada Disember nanti.

Daripada jumlah berkenaan, Kannan memaklumkan 11 pasukan akan bersaing dalam Liga Super, 14 pasukan dalam Divisyen Satu, selain masing-masing 13 pasukan dalam Divisyen Dua yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Beliau memaklumkan KLFA turut mengambil pendekatan baharu dengan menggabungkan sebahagian besar pemain Piala Belia (Bawah 19) dan Piala Presiden (Bawah 21) Kuala Lumpur dengan pemain pasukan Kelab Bola Sepak Cheras Perdana (CCP) yang bersaing dalam Liga Super KLFA.

“Kami dedahkan pemain muda kami dalam saingan Liga Super KLFA bagi memastikan mereka berada dalam tahap terbaik untuk menghadapi saingan Piala Belia dan Piala Presiden pada musim depan.

“Dengan menyertai Liga Super KLFA, maka pemain muda kami dapat didedahkan dengan lebih banyak perlawanan berbanding hanya 20 perlawanan dalam Piala Belia dan Piala Presiden sahaja, sebelum ini,” jelas Kannan.


-- Bernama