Program sukan wanita dijangka menerima lebih banyak peruntukan tahun depan sebagai sebahagian daripada inisiatif 'Wanita 2020' oleh Kementerian Belia dan Sukan, kata menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, peruntukan tersebut termasuklah bagi acara sukan bola sepak wanita, futsal, bola jaring, ragbi dan beberapa sukan lain.

"Kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan pendidikan sukan di sekolah, terutamanya dalam membantu kebanyakan wanita (sehingga) mereka terlibat dalam lebih banyak (sukan).

"Dan pada akhirnya, kita boleh tampilkan lebih banyak atlet wanita dalam sukan," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan tahunan Majlis Belia Malaysia (MYC) di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Syed Saddiq, beliau juga akan memastikan peruntukan sukan diagihkan secara adil.

Inisiatif "Wanita 2020" juga termasuk peruntukan untuk program lain dengan matlamat menampilkan lebih ramai pemimpin NGO wanita, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Saddiq menyatakan kebimbangan berhubung jumlah penyertaan wanita bagi mewakili Majlis Belia Malaysia.

"Saya sedih sebab dah beberapa kali perjumpaan di KBS, saya jarang melihat kehadiran wakil wanita. Tetapi, hari ini kita mempunyai tiga wakil wanita di sini dan banyak lagi jalan yang dapat kita lakukan untuk menambah baik bagi membolehkan lebih banyak suara wanita muda untuk diangkat (didengar).

"Kalau kita lakukan cara yang bersyarat ini (untuk perwakilan wanita), kita akan dapat memastikan perwakilan wanita berada dalam organisasi belia, dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi," katanya.