Pendaki bersihkan 1,000 kilo sampah dari Bukit Gasing
Bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan, sekumpulan lebih 150 pendaki daripada pelbagai latar belakang - bangsa, agama dan umur baru-baru ini berkumpul dengan satu matlamat iaitu bersama-sama membersihkan Bukit Gasing di Petaling Jaya.
Dianjurkan oleh Happy Hikers, program yang kali kelima diadakan itu bukan sahaja bagi membersihkan kawasan itu, sebaliknya ia juga bertujuan mengumpulkan masyarakat, atas semangat perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Misi ini bukan hanya usaha membersihkan kawasan itu tetap ia juga sebagai khidmat komuniti untuk memberi peluang kepada masyarakat pelbagai bangsa dan kepercayaan untuk bekerjasama mencapai satu visi. Kami berharap melalui aktiviti ini, ia juga bukan sekadar merapatkan hubungan antara satu sama lain, tetapi juga menyebarkan semangat perpaduan,” kata pengasas Happy Hikers, Ganesan Pillay.
Pillay berkata seperti yang diketahui, alam semulajadi merupakan persekitaran yang merangkumi tumbuh-tumbuhan, sungai dan laut, sama juga seperti masyarakat yang tanpa mengira bangsa, setiap seorang mempunyai peranan dalam membina negara.
“Terdapat keperluan untuk menunjukkan perlu ada kerjasama ke arah satu matlamat yang sama, sama ada dalam melindungi alam sekitar atau memelihara perpaduan untuk memacu Malaysia ke hadapan," katanya.

Sebanyak 1,000 kilogram sampah berjaya dikumpul pada program itu dan menurut Ganesan, ia menggambarkan sikap orang ramai yang tidak mengambil berat terhadap penjagaan alam sekitar dan pemuliharaan alam semula jadi.
Beliau berkata program seumpama itu penting bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang keamanan dan pemuliharaan alam semulajadi.

Sementara itu, Mohammed Rashid Abdul Ajij, 55, berkata program itu berjaya mengumpulkan masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk bersama-masa membersihkan sebahagian kecil kawasan yang mereka sukai di negara ini.
“Program seumpama ini juga akan memupuk semangat cintakan negara,” katanya.
Beliau berkata semangat berpasukan untuk mengutip dan membawa sampah keluar daripada hutan mencerminkan ia adalah tanggungjawab bagi setiap rakyat Malaysia untuk memelihara perpaduan dalam masyarakat selain mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam negara.
-Bernama

