Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mufti seru penyokong Harimau Malaya teladani akhlak nabi
Diterbitkan:  Sep 6, 2019 7:27 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad hari ini mengajak penyokong Harimau Malaya untuk mengambil teladan daripada akhlak dan kebesaran jiwa Rasullulah SAW.

Beliau berkata demikian bagi mengingatkan penyokong pasukan kebangsaan agar menjaga adab ketika melayani kunjungan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 10 Sept ini.

“Di kesempatan ini ingin kami (Pejabat Mufti) gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai tuan rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti.

“Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia.

"Contohilah akhlak dan kebesaran jiwa Baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhuwah Islamiyah kita akan terus subur. Insya Allah,” katanya menerusi ruangan Kalam Mufti di Facebooknya hari ini.

Dr Zulkifli berharap kemenangan skuad Harimau Malaya menundukkan pasukan Indonesia semalam menjadi pembakar semangat untuk memberi aksi terbaik pada perlawanan menentang UAE nanti.

Semalam, perlawanan antara Harimau Malaya dan pasukan Indonesia dicemari insiden apabila penyokong tuan rumah membuat kecoh pada separuh masa kedua dan pada akhir perlawanan sehingga melarat ke luar stadium.

Penyokong Indonesia dilihat membaling mercun, botol, batu dan objek lain ke arah penyokong Malaysia di stadium sehingga mencederakan tiga penyokong.

Akibatanya ratusan penyokong Harimau Malaya termasuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terperangkap dalam stadium selama kira-kira dua jam, sebelum dibawa menaiki kenderaan perisai barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata Harimau Malaya layak memenangi perlawanan semalam kerana beberapa faktor.

Antaranya, kebijaksanaan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dan pasukan kejurulatihan yang cepat membaca tempo dan taktikal pihak lawan.

Katanya keputusan membawa masuk Muhamadou Sumareh tepat apabila pemain kelahiran Gambia itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pertama dan gol kemenangan.

Lihat Komen
ADS