Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Cheng Hoe tak mahu tumpu Omar Abdulrahman saja
Diterbitkan:  Sep 9, 2019 5:43 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak bercadang mahu terlalu memberikan fokus kepada pemain bintang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Omar Abdulrahman, dalam aksi kedua Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara kedua-dua pasukan esok.

Pada masa sama, Cheng Hoe mengakui setiap pasukan mempunyai pemain utama sendiri yang mampu untuk mengubah sesuatu perlawanan.

Namun dia menegaskan skuad kebangsaan tidak boleh terlalu memfokuskan kepada seorang pemain lawan saja sebaliknya perlu berwaspada dengan kemampuan pemain-pemain lain.

“Keseluruhan pemain UAE mempunyai kualiti yang terbaik kerana memiliki pengalaman di pentas yang berbeza-beza.

“Mereka juga pernah bermain di pusingan akhir Piala Asia 2019, jadi sudah tentu tahap keyakinan mereka lebih tinggi,” katanya merujuk kepada pencapaian skuad Timur Tengah itu, termasuk mara sehingga ke pusingan separuh akhir sebelum ini.

Cheng Hoe berkata demikian pada sidang media di Stadium Bukit Jalil hari ini.

Bagaimanapun Cheng Hoe menegaskan pemain Malaysia juga kini berada pada tahap yang terbaik berdasarkan kepada persembahan dipamerkan mereka dalam setiap perlawanan terutamanya ketika menewaskan Indonesia dalam aksi pertama peringkat kumpulan baru-baru ini.

Sebagai jurulatih, Cheng Hoe mengakui dia berasa gembira dengan peningkatan yang dipamerkan oleh anak buahnya itu tetapi tetap tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mereka tidak memberikan yang terbaik dalam latihan dan perlawanan.

Mengulas mengenai perancangan taktikal yang bakal diterapkan dalam perlawanan esok, Cheng Hoe menjelaskan apa yang perlu dilakukan oleh pemain-pemainnya adalah untuk mengelakkan sebarang kesilapan besar kerana ia boleh membawa padah.

Omar banyak pengalaman

“Kesalahan biasa dalam bola sepak tu kita tahu, tetapi kesalahan-kesalahan besar seperti kelalaian apabila kita membuat hantaran dalam kawasan kita dan dirampas oleh pihak lawan, itu yang menyebabkan gol kita dibolosi.

“Kita kena ada keyakinan kerana kita tahu UAE bukan pasukan calang-calang dan jika kita melakukan kesilapan sedemikian kita boleh dihukum,” katanya.

Sementara itu pemain tengah kebangsaan yang berdarah kacukan, Brendan Gan, juga turut senada dengan jurulatihnya itu.

“Sudah tentu dia (Omar) seorang pemain yang hebat dan kami sentiasa melihat dia beraksi beberapa tahun ini.

“Tetapi kami juga pemain bolasepak, kami turun ke padang untuk memenangi perlawanan dan bukannya untuk seri atau kalah.

“Pada akhirnya kami hanya perlu fokus kepada pasukan sendiri," katanya.

Menurut Gan, Cheng Hoe sudah memberikan pesanan tertentu termasuk pemain utama yang perlu diawasi di atas padang nanti.

Siapakah Omar Abdulrahman? Dia - atau lebih dikenali dengan nama gelaran Amoory - adalah pemain profesional yang mewakili pasukan kebangsaan UAE dan kelab berpangkalan di Abu Dhabi, Al Jazira.

Pada 2016, dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia setelah berjaya membantu pasukannya ketika itu, Al Ain mara ke peringkat suku akhir kejuaraan Liga Juara-juara Asia.

Bersama pasukan kebangsaan pula, Omar sudah melakukan 67 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 11 gol. 

Lihat Komen
ADS