Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Program FitMalaysia yang sepatutnya berakhir di Johor Darul Takzim kini terpaksa dipindahkan.

Menurut sumber Kementerian Belia dan Sukan, pihak kementerian terpaksa memindahkan program tersebut ke Melaka dan dijadual berlangsung pada 14 September ini.

"Ikut perancangan program tersebut akan berakhir di Johor, namun terpaksa dipindahkan ke Melaka," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas sebab pemindahan itu, sumber tersebut enggan mengulas lanjut.

"Itu sahaja yang boleh saya maklumkan, selebihnya memang tak tahu," katanya.

Ketika disoal adakah pemindahan itu melibatkan arahan pihak istana Johor, ini jawab beliau : "Tak pasti berkaitan dengan sultan atau apa."

Terdahulu, sumber terdekat Malaysiakini memaklumkan program Fit Malaysia yang sepatutnya dijadual berakhir di Johor tidak dapat dianjurkan kerana mendapat tentangan daripada pihak istana.

Bagaimanapun, tidak ada pihak yang berani mengesahkan perkara itu.

Malaysiakini juga sudah menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas.

Melaka akan menjadi tuan rumah penganjuran program Fit Malaysia peringkat zon Selatan yang menyasarkan penyertaan kira-kira 15,000 peserta di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir pada 14 Sept ini.

Ia merupakan program terakhir pada tahun ini selepas dianjurkan di beberapa negeri mengikut zon sebelum ini.

Program sehari itu juga akan melibatkan pelbagai aktiviti sukan antaranya larian Fit Malaysia lima kilometer (km), Kayuhan Basikal 30 km, ‘Family and Para Fun Walk’ 2.5 km, ‘aerobicthon’, ‘sitting volleyball’, Kejohanan Liga Penalti, bola keranjang ‘3 on 3’l dan Kejohanan E-Sport.

Program yang bermula seawal 7 pagi itu, dijadual akan dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari dan turut dihadiri Syed Saddiq.

Lihat Komen
ADS