Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Malaysia terpaksa akur 1-2 kepada UAE
Diterbitkan:  Sep 10, 2019 11:30 PM
Dikemaskini: Sep 11, 2019 3:25 AM

Malaysia gagal meraih sebarang mata di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas terpaksa akur dengan kelebihan gol Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Perlawanan menjanjikan sesuatu yang menarik apabila Harimau Malaya membuat kejutan dengan menggegarkan gol lawan seawal minit pertama.

Gerakan pantas yang dicatur anak buah Tan Cheng Hoe berakhir dengan baik melalui jaringan Muhammad Syafiq Ahmad.

Detik-detik berikutnya juga banyak mendebarkan apabila pemain kebangsaan mengatur serangan bertali arus ke arah gawang lawan, namun hasrat tidak kesampaian - sama ada kerana digagalkan pemain UAE atau penyudah yang lemah.

Separuh masa pertama hampir ditamatkan dengan Malaysia berada di depan sehinggalah Ali Ahmed Mabkhout menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Bagaimanapun separuh masa kedua menyaksikan gerakan UAE bertambah kemas dan pada masa sama kelekaan pertahanan Harimau Malaya menyaksikan Ali Ahmed Mabkhout mendapatkan gol kedua pada minit ke-74.

Keputusan malam ini meletakkan Malaysia berada di tempat ketiga kumpulan G di belakang Thailand - yang mendapat empat mata - dan UAE (tiga mata).

Harimau Malaya juga memperoleh tiga mata namun dibezakan dengan UAE oleh jaringan yang membolosi gawang masing-masing.

Ketika skuad kebangsaan negara sudah mengharungi dua perlawanan, UAE pula baru satu.

Vietnam pula menduduki tempat keempat dengan satu mata, manakala Indonesia berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias (ketua pasukan), Matthew Davies, Shahrul Mohd Saad, Adam Nor Azlin, Brendan Gan, La'Vere Corbin Ong, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Norshahrul Idlan Talaha (J Partiban), Muhammad Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh (Mohamed Syamer Kutty), Muhammad Syafiq Ahmad (Muhammad Akhyar Rashid).

UAE: Khalid Eisa Bilal, Mohamed Saleh Almenhali, Walid Abbas Murad (ketua pasukan), Ali Hassan Al-Blooshi, Ali Ahmed Mabkhout, Jassim Yaqoob Al-Balooshi (Majid Ibrahim Salim), Khalifa Mubarak Al Hammadi, Ahmed Barman Alhmoudi, Khalil Ibrahim Al-Hammadi (Omar Abdulrahman), Mohammed Omar Al Attas, Ali Saleh Amro (Ismail Salem Alhammadi).

Pengadil: Hiroyuki Kimura (Jepun).

Lihat Komen
ADS