Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FitMalaysia Melaka batal akibat jerebu
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Program FitMalaysia terakhir tahun ini yang dijadual berlangsung di Melaka esok terpaksa dibatalkan akibat masalah jerebu.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Alam Sekitar Melaka.

"Aktiviti fizikal di kawasan terbuka adalah tidak digalakkan sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100.

"Berdasarkan laporan IPU yang dicatatkan di Bandaraya Melaka pada petang ini adalah sekitar 120 dan dijangkakan berada di paras tidak sihat untuk aktiviti luar esok," kata KBS dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata KBS, pembatalan juga setelah mengambil kira program itu disertai masyarakat pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak.

Tambah KBS, keputusan itu diambil memandangkan Program FitMalaysia disertai pelbagai peringkat umur terutamanya kanak-kanak.

"Oleh itu pihak KBS terpaksa membatalkan program ini untuk mengelakkan risiko orang ramai berdepan dengan masalah kesihatan," kata KBS, sambil memaklumkan telah menerima sejumlah 12,000 penyertaan untuk program tersebut.

Terdahulu, Melaka yang menggantikan Johor selaku tuan rumah FitMalaysia zon Selatan.

Pelbagai program telah dirancang untuk program itu antaranya larian Fit Malaysia lima kilometer (km), Kayuhan Basikal 30 km, ‘Family and Para Fun Walk’ 2.5 km, ‘aerobicthon’, ‘sitting volleyball’, Kejohanan Liga Penalti, bola keranjang ‘3 on 3’l dan Kejohanan E-Sport.

Lihat Komen
ADS