Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Beri ruang buat Wan Kuzain - Kim Swee
Diterbitkan:  Sep 16, 2019 2:45 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Jurulatih skuad Harimau Malaya bawah 23 tahun, Ong Kim Swee meminta penyokong bola sepak tempatan tidak cepat melatah dengan keputusan pemain berdarah Malaysia yang kini beraksi di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal untuk bermain bersama pasukan muda negara.

Kim Swee dipetik Utusan Online berkata peminat perlu melihat perkara itu dari sudut yang positif dan tidak menjadikannya satu isu.

"Perlu faham, Wan Kuzain sudah bertapak di AS, biarpun rakyat Malaysia. Walaupun ibu bapanya dari Malaysia tetapi dia dilahirkan dan membesar di sana selama ini.

"Janganlah terlampau sensitif. Bagi saya, dia macam anak kita, (sebab) jika anak kita sekalipun, kita pasti mahu yang terbaik untuknya,” katanya.

Jelas Kim Swee lagi, keputusan pemain muda itu menawarkan khidmatnya untuk menyertai skuad muda Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Sukan Sea nanti adalah petanda yang baik bahawa pemain itu bersedia untuk menyarung jersi Malaysia satu hari nanti.

“Saya tahu ramai yang mempertikaikan impiannya untuk bermain bersama Amerika Syarikat dan enggan beraksi bersama Malaysia. Itu salah.

“Jika dia tidak berminat, takkanlah dia sendiri yang menawarkan diri untuk bersama skuad B-23,” ujarnya.

Kim Swee (gambar) juga menjelaskan peminat di Malaysia perlu faham bahawa impian Wan Kuzain untuk bermain di Piala Dunia merupakan cita-cita yang diimpikan oleh setiap pemain bola sepak profesional.

“Kita perlu faham, dia bukan bermula daripada akademi kita, dia bermula di sana. 

"Yang pa­ling penting, apa juga keputusan Wan Kuzain adalah demi kebaikan dirinya,” katanya lagi.

Walaupun ini bermakna Wan Kuzain perlu mewakili AS dalam Piala Dunia nanti, Kim Swee berkata rakyat Malaysia perlu berbangga dengan perkara tersebut.

"“Ya (menjadi kebanggaan) walaupun kita rasa mungkin terkilan kerana dia mewakili AS tetapi demi kerjaya dan cita-cita, kita perlu sokong," jelasnya lagi.

Kim Swee mengulas pendapat peminat bola sepak tempatan bahawa pemain muda itu hanya ingin menggunakan peluang beraksi bersama skuad muda Harimau Malaya sebagai batu loncatan demi mencerahkan peluangnya untuk bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat di peringkat senior.

Lihat Komen
ADS