Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengulangi pendirian pegawai perlawanan profesional tempatan akan ditugaskan mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 yang dijadual berlangsung 2 Nov ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata meskipun prestasi barisan pegawai perlawanan profesional tempatan sering dipertikaikan pihak tertentu, namun laporan penilaian perlawanan oleh penilai pengadil bertauliah membuktikan sebaliknya.

Mengakui masih terdapat elemen perlu dipertingkatkan bagi memuaskan hati pelbagai pihak, Md Dali menegaskan antara usaha telah dibuat FAM dalam memperkasakan mutu pengadilan adalah keputusan menggunakan enam pengadil FIFA bermula pada saingan suku akhir yang berakhir minggu lepas.

"Pengadil untuk perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pengadil tempatan. Kita tetap akan kekalkan pengadil dari Malaysia dan mereka akan dipilih mengikut prestasi berdasarkan markah dalam laporan penilaian perlawanan.

"Untuk final kita akan perhalusi prestasi pengadil pada aksi separuh akhir nanti… sama seperti kita menilai mereka (pengadil) dalam empat perlawanan suku akhir sebelum memilih siapa akan dipilih untuk aksi separuh akhir.

- Bernama