Paling Popular
Terkini

Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, memuji persembahan cemerlang ditampilkan penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, yang meledakkan hatrik untuk membantu Malaysia membenam Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Sehubungan itu, pengendali berusia 51 tahun itu berharap terbabit dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya apabila skuad Harimau Malaya berdepan Vietnam pada aksi ketiga kumpulan G dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Okt ini.

"Setakat ini, Muhammad Syafiq bermain dalam tiga ke empat perlawanan dan permainan beliau semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Saya berharap beliau dapat kekal konsisten dan terus menjaringkan gol apabila kita memerlukan jaringan dalam perlawanan selepas ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi berkenaan, Muhammad Syafiq mempamerkan penyudah cemerlang dengan meledak jaringan pada minit kesembilan, minit ke-76 dan minit ke-89.

Tiga lagi gol skuad kebangsaan dijaringkan oleh Shahrul Mohd Saad pada minit ke-14, Norshahrul Idlan Talaha (minit ke-17) dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-51.

Sementara itu, Cheng Hoe mengesahkan tiga pemain tidak akan dibawa untuk aksi berdepan Vietnam susulan kecederaan yang dialami mereka masih belum pulih sepenuhnya, iaitu pemain tengah, Nor Azam Abdul Azih; pemain sayap, J Partiban; dan penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi.

Beliau bagaimanapun yakin ketiadaan mereka mampu ditampung beberapa pemain lain yang turut mempamerkan aksi cemerlang menentang Sri Lanka pada malam tadi.

Sementara itu Ketua Jurulatih Sri Lanka, Nizam Packeer Ali, berkata kekalahan teruk itu akan menjadi pengajaran terbaik buat pemainnya sebelum berhadapan cabaran hebat bertemu Korea Selatan dalam aksi ketiga kelayakan Kumpulan H di Stadium Hwaseong, Gyeonggi pada 10 Okt ini.

“Malaysia bermain dengan sangat baik dan tekanan yang diberikan kepada kami sepanjang perlawanan akan memberikan pengalaman yang bagus sebelum bertemu Korea Selatan (minggu depan).

"Kami terpaksa mengakui hakikat bahawa pasukan Malaysia adalah lebih baik. Pemain kami bermain dengan baik di Malaysia, tetapi penyudah kami amat teruk,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS