Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Iran angkat sekatan wanita masuk ke stadium
Diterbitkan:  Oct 9, 2019 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Setelah hampir 40 tahun mengenakan sekatan ke atas wanita daripada memasuki stadium, Iran akhirnya membatalkan larangan tersebut pada hari ini.

Menurut laporan The Guardian yang memetik AFP, Iran mengangkat larangan tersebut selepas menerima ancaman daripada FIFA untuk menggantung negara itu jika meneruskan polisi yang hanya membenarkan lelaki memasuki stadium.

Susulan daripada pembatalan itu, lebih 3,500 wanita berpusu-pusu mendapatkan tiket bagi menonton perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2020 antara negara itu dengan Kemboja pada Khamis.

Lebih mengejutkan, tiket bagi perlawanan itu habis dijual dalam masa sejam dan tiket tambahan yang disediakan juga habis dijual dalam masa yang singkat.

Salah seorang wartawan sukan wanita dari Iran, Raha Poorbakhsh yang berjaya mendapatkan tiket untuk perlawanan itu juga tidak dapat menyembunyikan keterujaannya dengan perkara itu.

"Saya masih tidak boleh mempercayai perkara ini akan berlaku kerana selama saya bekerja dalam bidang ini saya hanya menonton segalanya di televisyen.

"Kini saya mampu untuk mengalami sendiri pengalaman berada di stadium," katanya kepada AFP.

Rata-rata wanita di Tehran juga menyokong pengumuman itu dan menyifatkannya sebagai kebebasan kepada wanita di negara itu sepertimana yang dinikmati oleh wanita di seluruh pelusuk dunia.

Sejak revolusi Islam di Iran pada 1979, wanita di negara tersebut jarang sekali mendapat peluang untuk berada di dalam stadium.

Bagaimanapun, Iran menerima tekanan hebat daripada FIFA dan badan hak asasi manusia selepas insiden penyokong wanita membakar dirinya selepas ditangkap kerana menghadiri perlawanan bola sepak di sana.

Kejadian 'gadis biru' yang membakar dirinya ketika menunggu perbicaraan itu turut menarik perhatian dunia dan akhirnya membawa kepada penamatan sekatan pada hari ini.

FIFA pada bulan lalu juga mengarahkan Iran untuk membenarkan wanita memasuki stadium tanpa sebarang sekatan dan membekalkan tiket mengikut permintaan kepada wanita di negara itu.

Lihat Komen
ADS