Malaysiakini

Selepas kematian 'gadis biru', FIFA bakal lawat Iran

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketika isu kematian penyokong bola sepak wanita, Sahar Khodayarimendapat tumpuan media seluruh dunia, pegawai FIFA dilapor akan membuat kunjungan ke Iran.

Perkembangan itu hadir selepas Khodayari yang merupakan penyokong kelab Esteghlal meninggal dunia di hospital awal minggu ini selepas membakar dirinya sebagai tanda protes kerana ditahan susulan menyaksikan perlawanan di stadium.

Terdahulu, dalam kenyataan pada Selasa, FIFA mengucapkan takziah atas kematian Khodayari dan menegaskan untuk menamatkan larangan ke stadium terhadap wanita di Iran.

Sementara presiden Kesatuan Bola Sepak Denmark, Jesper Moller yang juga merupakan ahli jawatankuasa penganjur FIFA menggesa tindakan daripada badan pentadbir bola sepak itu.

‘’FIFA mempunyai sistem disiplin bebas dan mereka akan meneliti perkara ini. Saya akan membiarkan mereka. Dan apabila mereka telah membuat keputusan, mungkin kes itu berakhir dengan mahkamah sukan antarabangsa,’’ kata Moller seperti dilapor Reuters.

Bagaimanapun, laporan Reuters turut memetik jurucakap FIFA yang berkata, perjumpaan bersama pegawai bola sepak Iran merupakan sebahagian daripada persediaan perlawanan bagi pusingan kelayakan Piala Dunia Iran melawan Kemboja pada Oktober dan bukannya tindakan khusus kematian Khodayari.

Khodayari mendapat nama julukan ‘’gadis biru’’ sempena tema warna kelab pasukan kegemarannya, Esteghlal. Dia dikatakan menyamar sebagai seorang lelaki berambut warna biru dan berjaket panjang ketika hadir menonton perlawanan di stadium Teheran Azadi antara Esteghlal dan Al Ain.

Khodayari kemudian ditangkap pihak polis bagi menghadapi pertuduhan dan dipenjarakan selama enam bulan. Bagaimanapun, Khodayari membakar dirinya sebagai tanda protes dengan hukuman itu.

Kematian Khodayari menyebabkan kemarahan di Iran dan mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa, dan turut mencetuskan gesaan di media sosial agar Persekutuan Bola Sepak Iran diharamkan.

Mahmoud Vaezi yang merupakan ketua kakitangan Presiden Iran, semalam dilapor berkata wanita akan dibenarkan ke stadium sekiranya sorakan yang menggunakan bahasa kasar dan isu keganasan ditangani.

"Kita tidak nampak ada masalah dengan wanita hadir perlawanan jika suasana di sesuai... Tapi dengan begitu banyak bahasa kasar dalam kalangan penyokong dan keganasan, ia tidak digalakkan," katanya

Sejak Revolusi Islam pada 1979, Iran mengharamkan golongan wanita untuk menyaksikan perlawanan sukan lelaki atas alasan wanita melihat aurat lelaki.