Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Selangor janjikan kejutan buat JDT di Shah Alam
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 2:36 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Kemampuan Selangor meledakkan satu gol ketika menentang JDT pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Johor Bahru malam tadi disifatkan amat penting, walaupun kalah tipis.

Ketua jurulatih Selangor, B Satiananthan, berkata hal itu kerana gol tersebut bakal memberi kelebihan dan keyakinan kepada Red Giants untuk mencipta kejutan apabila bertemu semula JDT pada perlawanan timbal balik minggu hadapan.

“(Jaringan) ini merupakan satu petanda yang baik tetapi tugas kami belum lagi berakhir kerana perlu bekerja keras minggu ini bagi mendapatkan hasil keseluruhan yang baik,” katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin di sini, lewat malam tadi.

Mengulas perlawanan itu, Satiananthan berkata pujian seharusnya diberikan kepada semua anak buahnya terutama pemain tengah, Sandro da Silva dan penyerang, Ifedayo Olusegun, kerana menunjukkan komitmen dan aksi yang cemerlang.

“Separuh masa pertama kita kelam kabut. Apabila dapat bola, kami cepat sangat hilang bola. Itu kelemahan yang nyata tetapi memasuki babak kedua, kami sudah membina momentum dan mencipta banyak peluang, ini yang menjadikan permainan nampak lebih menarik.

"Kepada Sandro, saya ucapkan syabas walaupun tidak pernah main selama dua setengah bulan.

"Dia dapat mengawal dan memegang bola dengan baik sekali, begitu juga Ifedayo. Saya sukakan rentak yang dilakukannya dan berharap ia dapat diteruskan ketika beraksi di Shah Alam nanti,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Benjamin Mora berkata tugas getir menanti pasukannya apabila harus memastikan pihak lawan tidak menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan itu.

“Tetapi saya mempunyai kata hati (firasat) bahawa JDT akan dapat menjaringkan gol kerana itu yang sentiasa dilakukan pasukan setiap kali bermain di tempat lawan.

"Apapun, ini adalah bola. Kami tidak boleh terlalu selesa apatah lagi Selangor juga mempunyai keinginan untuk menang dan mara ke final,” katanya.

Pada perlawanan mendebarkan malam tadi, Harimau Selatan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor hasil jaringan Muhammad Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez masing-masing pada minit ke-14 dan 48, manakala gol Selangor disempurnakan oleh Ifedayo pada minit ke-17.

- Bernama

Lihat Komen
ADS