Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Bekas pengerusi Inter Milan sertai kabinet Jokowi
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 2:19 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Bekas pengerusi kelab Inter Milan, Erick Thohir merupakan antara individu yang tersenarai bagi menyertai kabinet baru Indonesia pimpinan Joko Widodo atau Jokowi.

Dalam pengumuman ahli kabinet yang dinamakan 'Indonesia Maju' di Istana Merdeka di Jakarta hari ini, Erick dinamakan sebagai Menteri Badan Usaha Milik Negara untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2024.

Dalam kempen Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019) sebelum ini, Erick turut dilantik sebagai Ketua Pasukan Kempen Nasional (TKN) Jokowi-Ma'ruf Amin.

Beliau yang pernah menjadi pengerusi Inter Milan pada 2013 sehingga 2018 bagaimanapun bukanlah nama yang asing dalam kalangan rakyat Indonesia kerana pencapaiannya dalam bidang perniagaan dan sukan.

Menurut laporan Forbes, Erick pada 2013 membeli 70 peratus pegangan dalam Inter Milan sekaligus menjadi rakyat Indonesia pertama yang menguasai pasukan sukan utama di Eropah.

Tempo juga melaporkan Erick membeli majoriti saham pasukan itu bersama dua lagi rakannya, Rosan Roeslani dan Handy Soetodjo sebelum menjual majoriti pegangan mereka kepada pemilik semasa Inter, Suning Group pada 2016.

Erick bagaimanapun kekal menjadi pengerusi di kelab tersebut sehingga November tahun lalu sebelum melepaskan jawatan tersebut kepada Steven Zhang yang merupakan anak kepada pemilik Suning Holding Group, Zhang Jingdong.

Penjualan saham itu dipercayai untuk membolehkan dia fokus kepada peranannya di kejohanan Sukan Asia yang berlangsung di Indonesia pada 2018.

Dalam Sukan Asia Jakarta Palembang yang berlangsung pada 2018, Erick dilantik sebagai Ketua Panitia Pelaksana Asean Games 2018 dan mendapat pujian daripada rakyat negara itu kerana kejayaannya membantu menganjurkan kejohanan sukan terbesar Asia itu.

Selain berminat dengan sukan bola sepak, Erick juga dilaporkan mempunyai pegangan saham di dalam pasukan bola keranjang, Philadelphia 76ers yang beraksi di Amerika Syarikat.

Lihat Komen
ADS